Selasa, 15 Februari 2011

Jambatan bengkok: Mahathir harap simpati Umno Johor kerana Najib tak hirau

WarkahDaily

Walaupun dilihat belum berputus asa dengan ideanya ketika masih Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dilihat cuba membuat rayuan atau mengharapkan simpati dari pemimpin-pemimpin negeri (Umno) Johor untuk meneruskan projek jambatan bengkok yang dicadangkan sebelum ini.

Mahathir dilihat terlalu beriya mahu jambatan berkenaan dilaksanakan tetapi dapat merasakan ianya tidak akan menjadi kenyataan jika tiada sokongan dari Umno Johor. Dalam masa yang sama, mantan Perdana Menteri itu kelihatan sudah berputus asa dengan kerajaan pusat pimpinan Najib yang dilihat tidak mengendahkan permintaan bekas PM itu. Cuma peluangnya ada bersama Umno Johor.

Walaupun Perdana Menteri selepasnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah membatalkan projek berkenaan, namun selepas Abdullah berjaya ’digulingkan’, maka Mahathir cuba memikat anak didiknya, Najib untuk meneruskan apa yang pernah dicadangkan sebelum ini. Namun, Najib yang cuba membina empayarnya sendiri tanpa ada bayangan mentornya Mahathir, beliau kelihatan tidak mengendahkan apa yang diinginkan Mahathir sehinggakan Mahathir terpaksa mengharapkan simpati Umno Johor.

The Malaysian Insider - Tun Dr Mahathir Mohamad yakin jambatan bengkok yang pernah beliau ilhamkan bagi menghubungkan Johor dan Singapura akan dibina tetapi hanya jika disokong pemimpin-pemimpin negeri itu.

Bagaimanapun bekas perdana menteri mengakui bahawa mustahil untuk menekan agar projek itu diteruskan jika pemimpin-pemimpin negeri tidak melihat keperluan untuk menggantikan Tambak Johor dengan jambatan baru.

“Saya optimistik jika mereka menekan untuk membina jambatan itu, jika mereka tidak ia mustahil (akan dibina),” kata Dr Mahathir ketika ditanya mengenai pertemuan beliau dengan pemimpin-pemimpin Johor baru-baru ini mengenai kemungkinan menghidupkan jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor.

Awal minggu ini, The Malaysian Insider membawa laporan, Dr Mahathir telah mengadakan pertemuan dengan Umno Johor hujung bulan lalu dalam usaha menghidupkan semula idea membina jambatan bengkok.

The Malaysian Insider difahamkan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman telah memanggil satu pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Umno bahagian di mana Dr Mahathir telah meminta akar umbi memberi tekanan ke atas kerajaan pusat supaya meneruskan projek tersebut.

Pentadbiran Najib yang telah pun menekankan beliau mahu meneruskan hubungan mesra dengan Singapura kemungkinan tidak akan meneruskan projek itu tanpa persetujuan bersama republik tersebut.

Idea itu dilontarkan oleh Dr Mahathir ketika di peringkat akhir kepimpinannnya tetapi dibatalkan oleh pengganti beliau Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pembinaan jambatan itu yang mempunyai ketinggian 25 meter dari tanah akan membolehkan bot serta kapal kecil berlayar dari Timur dan Barat Selat Tebrau.

Selepas bersara Dr Mahathir telah beberapa kali membangkitkan semula idea tersebut.

Pada Mei lalu misalnya, Dr Mahathir berkata, kerajaan perlu meneruskan pembinaan jambatan bengkok merentasi Selat Tebrau.

Beliau berkali-kali menegaskan pembinaan jambatan bengkok tidak memerlukan persetujuan Singapura kerana keseluruhan jambatan itu terletak dalam wilayah Malaysia.

“Itu adalah hak kita kerana kita mahu membinanya (jambatan bengkok) di dalam wilayah kita,” katanya.

Pembinaan jambatan lurus memerlukan persetujuan Singapura, tetapi beliau tetap berkeyakinan bahawa republik itu akan mempersetujui pembinaannya kerana ia adalah sesuatu yang baik.

Dr Mahathir berkata semasa menjadi perdana menteri, beliau pernah berunding dengan Singapura untuk membina jambatan lurus menggantikan Tambak Johor tetapi menghentikan rundingan itu selepas dua tahun menunggu jawapan daripada republik tersebut.

Hanya selepas itu katanya, beliau mencadangkan pembinaan jambatan bengkok yang tidak memerlukan persetujuan Singapura.

Bagaimanapun bekas Perdana Menteri itu berkata, projek pembinaan jambatan bengkok itu dihentikan apabila Abdullah mahu terus berunding dengan Singapura untuk membina jambatan lurus.

Dr Mahathir yang masih berpengaruh di kalangan Umno meskipun telah bersara pada 2003 tersinggung apabila Abdullah membatalkan projek tersebut dan terus mengenakan tekanan agar pentadbiran semasa meneruskan idea itu.

Bagaimanapun Datuk Seri Najib Razak yang berhasrat untuk memulihkan hubungan dua hala dengan Singapura enggan membincangkan cadangan tersebut.

Sebaliknya perdana menteri berhasrat untuk membincangkan syor pembinaan jambatan ketiga menghubungkan republik itu.

Najib juga telah menyelesaikan isu tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad lama berlarutan tahun lalu.

Dr Mahathir juga mahu Najib meneruskan idea itu memandangkan perkara juga telah disentuh oleh Sultan Johor akhir Jun lalu.

“Dilaporkan bahawa Sultan Ibrahim Iskandar, Sultan Johor telah bertitah bahawa baginda suka untuk melihat jambatan menggantikan Tambak Johor.

“Demikian juga dititah oleh Al-Marhum Sultan Iskandar bahawa baginda hendak Tambak Johor diganti dengan jambatan.

“Saya tidak pernah dengar rakyat Johor kecuali seorang yang bersetuju kekalkan tambak dan kesesakan lalu lintas di Johor Baru kerananya. Demikian juga saya tidak dengar bantahan oleh rakyat Malaysia terhadap projek jambatan mengganti tambak Johor ini,” kata Dr Mahathir dalam tulisan blognya awal Julai lalu.

Tambak Johor siap dibina pada 1923 selepas kerja-kerja pembinaan selama empat tahun dengan kos AS$17 juta.

Dalam pada itu laluan kedua menghubungkan kedua-dua Malaysia dan Singapura pula siap dibina pada 1998.

Tiada ulasan: