Selasa, 1 Februari 2011

Isu Air: Kerajaan negeri teruskan perbincangan dengan Pusat

SELANGOR KINI

SHAH ALAM – Tawaran kerajaan Selangor untuk mengambil alih empat syarikat konsesi air di Selangor iaitu Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (Puncak Niaga), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Konsortium ABBAS Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) berakhir, tepat pada jam 5 petang, semalam.

“Sejak tawaran itu dibuat pada 6 Januari lalu, Splash secara rasmi menolak tawaran tersebut melalui surat bertarikh 27 Januari, manakala Syabas dan Puncak Niaga menghantar dua pucuk surat minta penjelasan lanjut dan kedua-dua surat itu dibalas segera kerajaan Selangor,” kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menerusi satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, walaupun Abbas menerima tawaran dengan persetujuan bersyarat pada 28 Januari, tetapi tawaran itu tetap dikira luput kerana tawaran kepada empat syarikat itu adalah inter-conditional, yang mana empat syarikat mesti menerima secara bersama.

“Kerajaan Selangor kesal dengan perkembangan ini dan akan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan untuk langkah selanjutnya dan bekerjasama mencari jalan untuk meneruskan rundingan ini,” kata Khalid.

Tambah beliau, tiada satu pun syarikat konsesi ini menyahut cadangan supaya mencari jalan penyelesaian menerusi Timbangtara Antarabangsa yang mana kerajaan Selangor percaya ia adalah kaedah terbaik untuk mendapatkan nilai yang sewajarnya.

“Kerajaan Selangor percaya tawaran itu ditolak kerana ada kaitan kekurangan bon yang bakal dihadapi syarikat konsesi dalam waktu terdekat. Ini disebabkan Syabas gagal membuat bayaran-bayaran yang menepati masa dan mencukupi kepada syarikat pembekal air bersih iaitu Abbas dan Splash.

“Walaupun Syabas gagal membuat bayaran sepatutnya kepada dua pembekal air bersih, tetapi pada masa yang sama Syabas mampu membayar dividen dan membayar gaji yang tinggi kepada Ketua Pegawai Eksekutif sebanyak RM425,000 sebulan,” jelasnya.

Justeru itu menurut beliau, kerajaan Selangor mengulangi keperluan pembaharuan terhadap penswastaan air yang berat sebelah yang telah menafikan hak rakyat untuk mendapat perkhidmatan air yang berkualiti dan cekap pada harga berpatutan.

“Kami menggesa Kerajaan Persekutuan untuk berunding dengan kerajaan Selangor bagi mencari jalan penyelesaian yang munasabah bagi mengembalikan hak air kepada rakyat,” tegasnya.

Tiada ulasan: