Ahad, 13 Februari 2011

ILMAM : Pastikan Masa Depan Pengajian Pelajar Di Mesir Tidak Terjejas

Ditulis oleh Edi Suleiman


SHAH ALAM : Timbalan Presiden Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Malaysia, Mohd Farhan Madzlan menggesa pihak yang berwajib untuk memastikan pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di Mesir tetap menyambung pengajian mereka kembali selepas berakhirnya krisis di Mesir.

Farhan yang dihubungi Tv Selangor berkata semua pelajar Selangor yang menuntut di Mesir telah selamat dikeluarkan dan kini masih menunggu maklumat selanjutnya status pengajian mereka.

Semalam, pemerintahan Hosni Mubarak selama 30 tahun berakhir selepas menyaksikan bantahan rakyat yang berterusan selama 18 hari tanpa henti.

Menurut Farhan nasib pelajar Malaysia di Mesir memerlukan penjelasan lanjut pihak berkuasa mengenai status terkini hasil perkembangan yang berlaku di Mesir.

"Bagi sayalah status pelajar ini masih lagi tidak ada satu kepastian samada pelajar itu lulus ataupun tak lulus contohnya adakah tahun ini dia terpaksa berdepan dengan keadaan mereka tidak ditangguhkan pengajaran. Jadi bila tak tangguh pengajaran maknanya periksa yang bakal mereka hadapi ini dalam status gagal ataupun satu lagi, mereka ini semua masih lagi tak tahu status adakah mereka boleh menyambung yakni boleh pergi ke sana ataupun tidak.

"Sampai sekarang ini masih lagi tidak ada lagi keputusan, kita pun ada maklumkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi pun memohon maknanya status pendidikan ini. Bukan status yang istilah dia pertama ibu bapa pun bercakap bertanya kepada kita, kita pun juga sebagai satu bahagian kebajikan yang kita kena hulurkan kepada adik-adik kita dan juga ibubapa kita nak minta juga kepada pihak yang berwajib untuk memastikan status pelajar ini," jelasnya kepada TV Selangor.

Tambah Farhan lagi, antara inisiatif yang telah dilakukan oleh ILMAM adalah bertemu dengan wakil daripada Kementerian Pengajian Tinggi untuk memastikan pelajar-pelajar ini dapat kembali ke Mesir untuk meneruskan pengajian mereka.

"Kita telah menyatakan hasrat supaya pelajar-pelajar ini mesti diberikan satu keyakinan mereka boleh menyambung semula ke Mesir dan status pendidikan mereka selagi mana mereka tak sambung ke Mesir mereka, maka perlulah melalui Kementerian Pengajian Tinggi mesti melakukan sesuatu supaya status pelajar-pelajar ini tidak menjadi gagal," ujarnya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Selangor melalui menteri besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim telah mengambil inisiatif menyediakan kursus kepada pelajar-pelajar Mesir yang berasal dari Selangor sementara menunggu pergolakan yang berlaku di Mesir berakhir.

Inisiatif ini membolehkan pelajar memanfaatkan masa menunggu untuk kembali ke Mesir dengan melakukan perkara bermanfat termasuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran

Tiada ulasan: