Jumaat, 25 Februari 2011

Hujan lebat di ibu negara

BERNAMA


Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur berdekatan dengan Perpustakaan Negara dinaiki air ekoran hujan lebat petang tadi. — Foto ihsan
Kuala Lumpur —Hujan lebat di ibu negara petang ini menyebabkan beberapa jalan utama dinaiki air akibat air melimpah dari beberapa batang sungai antaranya Sungai Gombak dan Sungai Bonus.

Berikutan banjir kilat setinggi kira-kira 0.7 meter itu, banyak kenderaan ringan terperangkap di beberapa jalan-jalan utama di ibu negara.

Jurucakap Bilik Gerakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata antara jalan yang terjejas ialah Jalan Tun Razak bermula di hadapan Pusat Rawatan Pusrawi menghala ke Cheras.

Ekoran itu, kenderaan ringan tidak boleh melalui jalan tersebut namun kenderaan yang menghala ke arah Bulatan Pahang masih boleh dilalui di jalan tersebut.

Jalan-jalan lain yang dinaiki air ialah Jalan Ampang di hadapan Bangunan Risda dan Jalan Semarak.

Selain itu, katanya 13 buah rumah dimasuki air iaitu 12 buah rumah di Taman Sri Rampai dan sebuah lagi di Taman P.Ramlee, Setapak.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berkata pihaknya menerima laporan air naik di Jalan Tun Razak dan telah menghantar tiga anggotanya untuk meninjau keadaan di sekitar Kampung Baru sebelum menghantar sebarang bantuan.

Dalam pada itu, seramai 40 orang, termasuk 16 kanak-kanak, terperangkap hampir 15 minit di kawasan Kolej Multimedia di Jalan Gurney Kiri di sini apabila dinaiki air sedalam tiga meter.

Ketua Balai Bomba Jelatek Isa Ahmad berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5.18 petang tadi seramai 23 wanita dan seorang lelaki, yang merupakan pelajar di pusat latihan dua tingkat itu terperangkap di tingkat satu bangunan berkenaan.

“Manakala seramai 16 kanak-kanak berumur antara 16 bulan hingga empat tahun pula terperangkap di sebuah pusat asuhan berhampiran bangunan tersebut,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka telah dapat dikeluarkan oleh 25 anggota dari Balai Bomba Jelatek, Chow Kit dan Jinjang.

Beliau juga berkata 50 buah kereta di kawasan sekitar bangunan itu turut ditenggelami air.

Tiada ulasan: