Sabtu, 26 Februari 2011

HRF : Perhimpunan Tetap Diadakan Di KLCC Esok

Ditulis oleh Radzi Razak


SHAH ALAM : Parti Hak Asasi Manusia Malaysia (HRP) dan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) tetap akan mengadakan perhimpunan di KLCC esok dan mengadakan akujanji tidak akan mengganggu perniagaan dan lalulintas di sekitar kawasan terbabit.

Setiausaha Agung Pro Term HRP, P. Uthayakumar ketika dihubungi TV Selangor menyatakan pihaknya juga telah menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Hishammudin Hussein agar tiada campurtangan dari samseng upahan atau NGO bersifat ekstrem seperti Perkasa, Pekida dan Mandur India yang turut dijangka terlibat esok.

"Kami telah menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Hishammudin supaya membenarkankan kami berhimpun secara aman dan supaya kami mendapat perlindungan daripada sebarang anasir yang tidak diketahui contohnya Perkasa, Pekida, Gangster Umno iaitu 3 Line dan Gangster mandur India yang menjadi upahan orang-orang UMNO yang dikhuatiri akan cetuskan kekacauan.

Hindraf sebelum ini pernah mengadakan Rali Besar Besaran pada 25 November 2007 apabila lebih 30 ribu masyarakat India turun ke jalanan menghantar memorandum kepada Pesuruhjaya British Malaysia tentang penindasan masyarakat India di negara ini namun dipatahkan dengan tindakan ganas polis.

5 pemimpin mereka ditahan di bawa Akta Keselamatan Dalam Negeri ISA kerana hal itu.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, menegaskan tindakan tegas terhadap orang ramai yang menyertai perhimpunan di KLCC esok kerana tidak mendapat permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Hal itu ditambah pula dengan kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali yang mendesak polis agar mengambil tindakan tegas terhadap mereka kerana didakwa akan mencetuskan huru-hara.

Bagaimanapun Uthayakumar menjamin para demonstran akan berkelakuan baik dan tidak melanggar sebarang peraturan.

"Di pihak kami, kami telah mengadakan aku janji dengan pihak polis bahawa kami tidak akan mengganggu perniagaan di kawasan tersebut dan lalulintas serta menurut peraturan polis dalam himpunan awam. Kami berhimpun mengikut hak kami seperti yang termaktub dalam artikel 10B Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Menurut Uthayakumar, walaupun dijangka bilangan peserta akan kurang daripada himpunan Rali lalu, namun beliau yakin masyarakat India tetap komited menentang sikap perkauman UMNO.

"Perhimpunan besar esok tidaklah seperti 2007 dulu tapi kami yakin beberapa ribu akan datang demi memprotes perbuatan perkauman UMNO terutamanya terhadap masyarakat India yang miskin dan teraniaya," katanya.

Tiada ulasan: