Selasa, 15 Februari 2011

Hindari denggi, pastikan persekitaran selamat

SELANGOR KINI



BANTING
– Penglibatan dan kerjasama semua pihak penting dalam usaha menjaga kebersihan dan membasmi wabak penyakit demam denggi supaya masyarakat dapat hidup sihat, selain dapat mendiami persekitaran selamat.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani ketika berucap merasmikan program gotong royong dan pemeriksaan kesihatan Kampung Seri Jugra di sini semalam berkata, kerjasama semua pihak penting dalam usaha menghindari sebarang gejala penyakit merbahaya, di samping mendiami persekitaran selesa.

Tambahnya, penganjuran program seperti program gotong royong dan pemeriksaan kesihatan yang diadakan itu juga perlu digalakkan selalu supaya kawasan persekitaran kampung dan penempatan terpeliharaan kebersihannya.

“Saya rasa ini yang pertama kali melibatkan semua institusi yang ada di sekitar kawasan kita ini dan saya rasa bertuah bila JKKK dan pengerusi kampung mengalu-alukan kedatangan tuan-tuan dari kem tentera, ILP dan institusi pendididikan,” katanya.

Sebahagian peserta gotong-royong yang hadir

Jelasnya, penduduk berasa bangga dengan penglibatan semua pihak di dalam menjayakan program tersebut dan menganggap ia sebagai sumbangan secara langsung terhadap masyarakat kampung.

“Hari ini tuan-tuan beri sumbangan secara langsung dan saya bagi pihak Pusat Khidmat Masyarakat mengucapkan terima kasih dan bersyukur ke atas penglibatan tuan-tuan semua dan mudah-mudahan ia menjadi satu amalan yang baik,” katanya.

Beliau berkata, gotong royong adalah salah satu ikhtiar bersama bukan setakat memperindahkan kawasan tempat tinggal tetapi juga memberi jaminan membantu mempertingkatkan mutu kesihatan masyarakat.

Sebagai contoh, katanya, sebelum ini dilaporkan berlaku kes wabak demam denggi di kem tentera udara yang telah mengorbankan nyawa empat orang anggota.

Menyediakan perkhidmatan kesihatan percuma

Bagi mencegah daripada wabak itu berulang jelasnya, diadakan satu gerak kerja yang mana ia telah mendatangkan hasil diingini dengan tiada lagi berlaku wabak penyakit tersebut.

Program gotong royong dan pemeriksaan kesihatan Kampung Seri Jugra dihadiri Pengarah dan Pengurus Pusat Khidmat Masyarakat DUN Morib, Dr Salahuddin dan Hasnol Baharuddin, Pengarah program, Azman Saidin; petugas TUDM Banting, pelajar Kolej Komuniti Banting, pelajar ILP Banting dan penduduk kampung.

Pihak JKKK Kampung Seri Jugra juga telah bekerjasama dengan Pusat Kesihatan Banting untuk memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk kampung.

Tiada ulasan: