Isnin, 21 Februari 2011

Hata NUJ jual tanah RM1.2 juta untuk akhbar bebas

Jimadie Shah Othman

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari yang sedang bergelut dengan siasatan dalaman oleh majikannya Utusan Melayu (M) Berhad, kini berazam untuk menubuhkan akhbar sendiri yang benar-benar bebas, beretika dan profesional.

Untuk tujuan itu, beliau malah menjual tanah bernilai RM1.2 juta seluas 5 hektar milik keluarganya di Mentakab, Pahang yang kini merupakan ladang ternakan lembu.

NONE"Ini bukan akhbar politik. Kita mahu tunjukkan sebuah akhbar sebenar yang bebas, beretika dan profesional serta tidak memihak kepada mana-mana pihak," katanya yang menjadikan kebebasan media sebagai agenda utamanya di NUJ.

Hata sebelum ini dilaporkan membentangkan kertas kerja pada forum tertutup bersama Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar bagi membincangkan hasrat menerbitkan akhbar khusus untuk orang Melayu, yang dinamakan Utusan Rakyat bagi menyaingi Utusan Malaysia.

Cadangan PKR untuk menerbitkan akbar itu - Utusan Rakyat - dilaporkan dipercayai mempunyai kaitan dengan kajian mengenai tahap sokongan rakyat kepada parti itu - yang turut dibentangkan - yang mendapati kira-kira 40 peratus membaca akhbar arus perdana.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Hata menegaskan tidak terlibat dengan mana-mana parti politik sebaliknya tujuan pembentangannya cuma bagi mendapatkan jaminan tidak dihalang menghadapi acara parti.

50,000 naskhah dicetak

Malah, tambahnya, permohonan yang sama dibuat kepada pihak Umno melalui sepucuk surat kepada ketua penerangan parti Melayu itu Datuk Ahmad Maslan.

"Bagaimanapun, Ahmad Maslan belum memberikan jawapan. Itu yang saya jumpa Nurul Izzah dulu," katanya sambil memberitahu sudah berjumpa dengan beberapa pelabur yang menunjukkan minat.

azlanTambahnya, akhbar bersaiz tabloid 14 halaman yang memfokuskan isu sekitar Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Perak itu dijangka berada dalam pasaran pada Mac depan dengan harga RM1.20 untuk edisi cetak dan RM10 sebulan untuk muat turun daripada internet.

Jika mendapat permit, Hata bercadang mencetak 50,000 naskhah setiap keluaran sebagai permulaan.

Buat permulaan, kata Hata, beliau akan dibantu oleh beberapa anggota keluarga terdekatnya yang berkhidmat secara sukarela.

Ditanya sama ada beliau akan berhenti daripada Utusan utuk mengepalai pasukan editorial akhbar baru itu, Hata berkata perkara itu tidak mungkin kerana beliau masih wartawan di akhbar Umno itu.

"Saya hanya membantu daripada aspek pengurusan. Untuk saya jadi wartawan, tak boleh. Saya kan masih wartawan Utusan," kata wartawanan kanan yang terkenal dengan kelantangannya itu.

Tiada ulasan: