Khamis, 3 Februari 2011

Hasil padi peserta meningkat

SINAR HARIAN ONLINE

PARIT SATU BANAT ( SABAK BERNAM ) – Seramai 25 peserta dengan 30 lot sawah padi di Blok C6 yang terlibat dalam Program Peningkatan Hasil padi untuk musim 2/2010 mula dituai dan memperlihatkan adanya peningkatan hasil berbanding musim sebelum ini.

Salah seorang pesertanya, Md Saiful Bahri Md Sakirin, 45, berkata, penyertaannya dalam program berkenaan melibatkan keluasan 0.6 hektar sawah padi.

“Sebelum ini dalam musim 1/2010, dengan 0.6 hektar saya hanya mampu meraih hasil padi sebanyak dua tan 200 kilogram. Namun musim ini berlaku peningkatan hasil padi yang memberangsangkan dengan keluasan yang sama,” katanya.

Menurutnya, dia akan memohon kerjasama Syngenta untuk mendapatkan kerjasama syarikat itu untuk empat musim akan datang bagi memastikan pengeluaran padinya dapat ditingkatkan dari musim ke musim.

“Kita dapat lihat sendiri keberkesanan produk mereka selain penerangan secara teori dan praktikal daripada Pejabat Pertanian sehingga mampu mencapai hasil yang berganda musim ini.

“Kalau sebelum ini, saya beli dan cuba pelbagai jenis produk apabila mendengar sembang kawan-kawan, tetapi apabila menyertai program ini dan mengkhususkan produk Syngenta ini dalam penanaman padi kali ini, ia membuahkan hasil,” katanya.

Difahamkan, menurut sumber, Syngenta Crop Protection Sdn Bhd menyertai program Peningkatan Hasil Padi IADA Barat Laut Selangor dan peserta (petani) untuk merealisasikan program berkenaan.

“Syngenta menjalinkan kerjasama bersepadu dengan membekalkan racun dan perkhidmatan secara percuma kepada peserta program untuk membuktikan produk Syngenta mampu membantu menambah produktiviti tanaman padi mereka.

“Kebiasaannya, 30 lot yang terlibat dalam program ini hanya mampu menjana pengeluaran purata lima tan sahaja tetapi dengan penyertaan kita ini, lot ini mampu menjana hasil pengeluaran yang lebih banyak dari kebiasaannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Tiada ulasan: