Sabtu, 12 Februari 2011

Hari Valentine: Pemuda PKR dakwa wujud hipokrasi Umno

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR — Angkatan Muda PKR mendakwa wujud unsur-unsur hipokrasi yang “jelas dan nyata” di pihak Umno-BN khususnya dalam kontroversi kempen penguatkuasaan Hari Valentine, yang didakwa hendak dibawa Pemuda PAS, untuk memerangkap minda rakyat agar lari daripada fokus sebenar yang sewajarnya diberikan.

Sehubungan itu, ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin (gambar) berkata, perbincangan dan musyawarah di kalangan pergerakan Pemuda Pakatan perlu diadakan bagi memperoleh persefahaman dan dasar pendirian yang boleh dikongsi bersama tanpa menafikan beberapa hal berbeza dari segi pendekatan.

“Dalam hal ini pihak Angkatan Muda PKR yakin bahawa permuafakatan Pakatan Rakyat membincangkan hal-hal termasuk isu sensitif membuktikan kesediaan Pakatan Rakyat menerima perbezaan dan memberikan dasar yang terbaik kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Katanya, Hari Valentine sekali lagi mendapat perhatian semua pihak terutama kepada pendirian Pakatan Rakyat.

Katanya, ia menjadi perhatian kerana melibatkan isu pengawasan moral.

“Angkatan Muda Keadilan melihat wujud unsur-unsur hipokrasi yang jelas dan nyata di peringkat Umno-BN khususnya dalam soal ini, yang jelas kelihatan mahu memerangkap dan memasung minda rakyat agar lari daripada fokus sebenar yang sewajarnya diberikan secara tepat mengenai isu ini,” kata beliau lagi.

Shamsul Iskandar juga berkata Angkatan Muda PKR percaya bahawa pendekatan dakwah secara mendidik adalah merupakan penyelesaian manusiawi yang lebih mampan dan jangka masa panjang.

“Pendekatan mendidik yang dibawa Pakatan Rakyat akan membetulkan imej negatif yang dicanang oleh Umno-BN,” kata beliau.

Katanya, menjangkau 54 tahun Malaysia di bawah kepimpinan Umno, Islam dilihat rigid dan sentiasa dalam keadaan terancam, dan dalam masa yang sama dimensi penyelesaian hanya dihadkan kepada kepompong yang sempit.

“Menyedari hakikat inilah, pendekatan yang lebih hikmah sewajarnya diambil oleh Pemuda Pakatan demi memastikan penyelesaian yang konstruktif dapat diambil ke arah mencari jalan penyelesaian yang wajar,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan menjelang tengah hari tadi.

Terdahulu pagi tadi, Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan at-Tantawi menegaskan, pihaknya “bukan penghukum” dan juga “bukan polis moral” tetapi akan meneruskan kerja-kerja menyelamatkan generasi muda.

Nasrudin berkata, biarpun berdepan dengan kritikan pedas daripada pelbagai pihak, sayap pemuda PAS itu akan terus berjuang dan berdakwah bagi menyelamatkan generasi muda daripada terus dimangsakan oleh pelbagai aktiviti tidak bermoral.

Malah tegas Nasrudin, beliau sedia menawarkan kerjasama antara Dewan Pemuda PAS dengan kerajaan-kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat untuk memantau perkembangan dan kegiatan tidak bermoral dan memberi didikan kepada mereka yang terjebak agar insaf.

Katanya, beliau berharap agar kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat menjadi contoh kepada negara untuk mendidik rakyat bukan sahaja dalam aspek politik dan ekonomi tetapi juga ke arah membentuk iklim sosial yang jernih dan harmoni.

“Sementara saya tiada authoriti untuk memberi arahan kepada sebuah kerajaan negeri sebagaimana saya juga bukan polis untuk menangkap pesalah.

“Saya hanya pendakwah bukan penghukum,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sehubungan itu tegas beliau, pihaknya akan turun sebagai “duta penyelamat dan kasih sayang” dengan membawa misi dakwah untuk mendidik serta membimbing masyarakat khasnya generasi muda muslim hari ini agar tidak hanyut dibawa arus keruntuhan moral.

“Namun kami bukan penghukum, kami juga bukan polis moral, malah kami bukan penguat kuasa,” kata Nasrudin.

Semalam, Nasrudin berhadapan dengan kritikan pelbagai termasuk rakan-rakannya dari Pakatan Rakyat ekoran laporan bahawa akan melancarkan kempen membendung aktiviti tidak sihat pada sambutan Hari Kekasih, Isnin ini.

Ketua Pemuda DAP Anthony Loke menegaskan parti itu tidak bersetuju sama sekali pendekatan yang diambil Nasrudin untuk melakukan “pemeriksaan tidak bermoral” terhadap pasangan pada sambutan Hari Kekasih.

Ia melampaui kuasa ahli Pemuda PAS untuk melakukan penguatkuasaan sedemikian dan kempen itu tidak pernah dibincangkan dengan Angkatan Muda PKR dan Pemuda DAP.

PAS Selangor juga menolak cadangan Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin yang mahu melancarkan kempen membendung gejala tidak bermoral di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: