Khamis, 17 Februari 2011

Haniff: Mahathir, Anwar pernah minta mansuh ISA tapi polis halang

TERKINI

KUALA LUMPUR— Bekas ketua polis negara Tun Mohd Haniff Omar hari ini mengakui beliau adalah individu yang menghalang cadangan kerajaan yang mahu memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Haniff yang berkhidmat sebagai Ketua Polis Negara selama 20 tahun sehingga 1994 berkata, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mencadangkan supaya ISA dimansuhkan.

“Anwar kata kita harus mansuhkan ISA, Dr Mahathir kata OK.

“Tapi saya minta mereka untuk mempertimbangkan cadangan itu dengan berkata ia hanya membabitkan soal keselamatan negara,” katanya pada Forum Cabaran Semasa Demokrasi dan Perlembagaan Ke Arah Pencapaian Wawasan 2020 di sini.

Jelas Haniff, Dr Mahathir konsisten dalam usaha untuk memansuhkan ISA yang telah menahan ramai individu tanpa dihadapkan di mahkamah.

“Bila beliau (Dr Mahathir) jadi perdana menteri, (Tun) Musa Hitam beritahu saya agar tidak menggunakan ISA kerana Dr Mahathir tidak menyukainya,” katanya.

Dalam program yang sama, Dr Mahathir berkata beliau sebenarnya mahu memansuhkan ISA ketika memegang tampuk pemerintahan negara selama 22 tahun.

Bagaimanapun, menurut Dr Mahathir, usaha itu gagal kerana pihak polis menolak cadangan tersebut.

Sebelum ini, Dr Mahahir menyalahkan polis yang ekoran penangkapan besar-besaran di bawah ISA pada 1987 yang turut membawa kepada penahanan lebih 100 orang termasuk Penasihat DAP Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng yang kini Ketua Menteri Pulau Pinang.

Sementara itu, Dr Chandra Muzaffar yang juga merupakan bekas tahanan ISA mempertahankan tindakan Dr Mahathir dalam Ops Lalang dengan berkata, ia tidak ada kaitan dengan negarawan itu.
Menurut Chandra, operasi tersebut adalah tindakan dilakukan polis dan bukannya arahan Dr Mahathir.

“Berdasarkan pengalaman saya, saya ditahan di Pulau Pinang dan dibawa ke Kuala Lumpur di mana saya berjumpa Tun Haniff, semasa saya berjumpa Tun Haniff beliau berkata ia adalah operasi polis dan beliau begitu konsisten.

“Penangkapan selama 60 hari itu adalah operasi polis,” tegas beliau yang juga meminta supaya ISA dimansuhkan.

Chandra, seorang ahli akademik dan Presiden Just, pernah berada dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang Anwar merupakan ketua umumnya sekarang.

Tiada ulasan: