Selasa, 22 Februari 2011

Halang Tubuh Daftar Parti Baru, JPPM Langgar Perlembagaan

TVS NEWS


SHAH ALAM : Cadangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak lagi meluluskan pendaftaran parti politik baru dianggap bertentangan dengan perlembagaan negara oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Beliau menyifatkan JPPM tidak berhak menyekat kebebasan rakyat dalam berparti walaupun Malaysia dikatakan mempunyai sejumlah yang besar parti politik yang berdaftar di negara ini.

"Dia tak boleh sekat kebebasan rakyat yang nak berpolitik, nak berparti politik tu semua kebebasan rakyat, saya rasa perkara ini bertentangan dengan perlembagaan, sebab perlembagaan negara menjamin kebebasan untuk berpersatuan," katanya.

Rafizi turut menasihatkan JPPM supaya tidak membuang masa dalam memberi cadangan yang tidak relevan dan dianggap menyekat kebebasan rakyat, tetapi sebaliknya lebih menumpukan kepada perkara yang memperkasakan jabatan mereka berbanding perkara remeh.

"Sepatutnya jabatan kerajaan habiskan masa lebih untuk mempertingkatkan kecekapan bukannya fikir idea-idea yang bertujuan untuk menyekat kebebasan rakyat."

Tambah beliau lagi, kuasa terletak di tangan rakyat jika mahu memilih sesebuah parti dalam menerajui kepimpinan negara sekaligus memilih parti yang dapat membela nasib mereka, jadi JPMM harus menghormati perlembagaan.

"Jadi pandangan atau keputusan yang mana menyusahkan rakyat yang mana menguntungkan rakyat, itu biar rakyat buat keputusanlah bukannya dia yang buat keputusan, kalau parti itu tidak relevan kepada rakyat maka parti itu takkan dapat tempat di hati rakyat, apa kita nak takut yang paling penting ialah kuasa untuk memilih dan hak untuk berpolitik yang dijamin oleh perlembagaan dihormati," katanya.

JPMM mencadangkan kepada KDN supaya tidak meluluskan parti politik baru yang dianggap menimbulkan pertikaian politik yang tidak berkesudahan selepas pilihanraya umum ke-12 pada 2008 yang mana menyaksikan parti baru ditubuhkan.

JPPM juga telah pun menghantar kertas cadangan kepada KDN baru-baru ini.

Tiada ulasan: