Isnin, 14 Februari 2011

Hakim Tolak Permohonan Kakak TBH, Alasan Tiada Unsur Berat Sebelah Pada DPP

Ditulis oleh Roy



KUALA LUMPUR : Suruhanjaya DiRaja (RCI) menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini menolak permohonan kakak Beng Hock, Teoh Lee Lan agar tiga Timbalan Pendakwaraya (DPP) yang telibat dalam perbicaraan kes TBH dahulu tidak diserap ke dalam Suruhanjaya DiRaja.

Lee Lan dengan bantuan seorang jurubahasa memberitahu RCI Jabatan Peguam Negara (AGC) hilang kredibiliti dan kepercayaan keluarga TBH kerana AGC telahpun memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan inkues TBH yang tamat awal bulan lalu.

Selepas 30 minit berbincang dalam kamar, pengerusi RCI, Tan Sri James Foong Cheng Yuen memberikan keputusan bahawa RCI mendapati tiada unsur-unsur yang boleh membuktikan bahawa ketiga-tiga DPP yang dimaksudkan bersifat berat sebelah dan prejudis maka mereka akan terus bertugas sebagai pegawai RCI.

Beliau berkata, beliau serta para pesuruhjaya lain tidak mempunyai apa-apa halangan sekiranya peguam keluarga TBH, Karpal Singh, Gobind Singh Deo ataupun Malik Imtiaz mahu memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan ini tetapi keputusan ini adalah muktamad sehingga RCI menerima arahan mahkamah menghalang tiga DPP tersebut daripada menyertai RCI.

Bagi memberikan cukup masa untuk memfailkan semakan kehakiman dan mendapatkan keputusan berkenaan penyertaan tiga DPP tersebut, RCI mencadangkan agar persidangan hari ini ditangguhkan ke petang Rabu pukul 2 petang agar RCI dapat mengambil langkah sewajarnya selepas mendengar keputusan semakan kehakiman.

Lee Lan yang ditemui di luar mahkamah jelas tidak berpuas hati dengan keputusan RCI yang tidak menampakkan ketelusan pada hari pertama bersidang mula menangis sambil memberitahu media bahawa beliau dan keluarganya sudah hilang kepercayaann terhadap Inkues TBH serta AGC dan kini RCI juga akan kehilangan kredibiliti sekiranya tiga DPP itu dibenarkan bertindak sebagai pegawai RCI.

Dalam pada itu, Gobind memberitahu media, terdapat dua isu penting yang perlu diberi perhatian serius oleh RCI.

Sebelum persidangan bermula pagi tadi, Karpal juga telah memohon kepada RCI untuk penangguhan kerana beliau terpaksa menghadiri kes lain (kes Fitnah II Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang bersambung pada hari yang sama tetapi James menekankan bahawa RCI merupakan badan di bawah kuasa DYMM YDP Agong dan beliau serta pesuruhjaya lain tidak mempunyai kuasa untuk membuat perubahan termasuk tarikh penyiasatan berlangsung.

Beliau seterusnya meminta Karpal memfailkan permohonan penangguhan untuk kesnya tetapi pada masa yang sama menyatakan beliau tidak dapat memberi jaminan samada permohonan tersebut akan dibenarkan ataupun tidak.

Persidangan hari ini ditangguhkan ke hari Rabu, 16 Februari pukul 2 petang dan RCI juga akan melawat kawasan kejadian, bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam pada pagi Khamis, 17 Februari bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas berkenaan kejadian malang yang menimpa TBH hingga menyebabkan kematiannya.

Tiada ulasan: