Jumaat, 11 Februari 2011

GMI, Suaram kecam penahanan terbaru ISA

Keadilan Daily

Ketika isu Operasi Lalang 1987 yang membawa penangkapan 106 orang di bawah Akta keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibangkit semula dan menjadi perbincangan hangat, tiga lagi individu ditahan di bawah akta kejam itu semalam.

Tangkapan itu membabitkan dua lelaki dan seorang wanita yang ditahan di Kuala Lumpur, dipercayai terlibat dengan jenayah rentas sempadan dan penyeludupan manusia.

Sehubungan itu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengutuk sekerasnya penahanan tersebut yang diumum Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussien.

“Penahanan tiga individu di bawah ISA merupakan satu lagi percubaan kerajaan untuk mengesahkan penahanan tanpa bicara di sebalik kritikan orang ramai terhadap Perdana Menteri yang mengakui keperluan akan mengkaji semula ISA.

“Kami mengkritik keras kerajaan kerana mengamalkan dwistandard mengenai isu-isu berkaitan ISA. Dari satu segi, ia merancang untuk semakan semula ISA tetapi pada sisi yang lain, penahanan baru dijalankan secara diam-diam tanpa sebarang pengumuman dibuat,” ujar dua NGO itu dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Menurutnya lagi, GMI dan Suaram mengakui isu keselamatan negara adalah penting dan menentang aktiviti penyeludupan manusia, namun berpendapat hak seseorang untuk mendapatkan perbicaraan adil tidak boleh diketepikan tanpa sebarang asas.

Kedua NGO itu juga mempersoal mengapa kerajaan menggunakan ISA menangkap individu berkenaan sedangkan Malaysia mempunyai undang-undang khusus dalam menghalang aktiviti penyeludupan manusia.

“Kami menggesa kerajaan untuk mendakwa mereka yang ditahan dalam mahkamah terbuka dan membebaskan mereka tanpa syarat dengan segera,” ujarnya sambil menggesa kerajaan memberi jaminan keselamatan kepada individu terbabit.

Dalam masa yang sama, GMI dan Suaram juga menyeru ahli keluarga mangsa yang ditangkap supaya tampil menghubungi badan itu bagi mendapatkan pembelaan dan menentang penahanan itu.

“Akhirnya, GMI dan Suaram menggesa rakyat Malaysia menuntut pembebasan kesemua tahanan dan pemansuhan ISA yang merupakan undang-undang tidak adil dan terkebalakang hasil peningggalan penjajah,” tegasnya.

Tiada ulasan: