Rabu, 9 Februari 2011

Getir proaktif desak bawa pelajar pulang

Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU: Gerakan Membantu Pelajar Kelantan-Mesir (Getir) mendakwa tindakan proaktif diambil pihaknya mendesak Kerajaan Pusat supaya membawa pulang pelajar Malaysia sebaik tercetusnya ‘revolusi Mesir’.

Setiausaha Getir, Mohd Asri Mat Daud (gambar) mendakwa walaupun pihak Kedutaan Malaysia di Mesir dan Kerajaan Malaysia sendiri mengumumkan suasana krisis pada masa itu ‘OK’ , namun kerajaan dilihat terpaksa membuat keputusan mengeluarkan pelajar keluar dari Mesir itu dua hari kemudian.

“Selepas dua hari kemudian, kita lihat kerajaan terpaksa membuat keputusan terutama apabila rusuhan kian meruncing di Mesir, bahkan ada di kalangan pelajar Kelantan terkena peluru getah. Keadaan menjadi lebih teruk,” katanya kepada media di Yayasan Islam Kelantan (YIK) Nilam Puri ketika menyambut kepulangan pelajar Universiti Al-Azhar, Mesir malam semalam.

Ketibaan rombongan lebih 40 pelajar Kelantan Mesir itu merupakan kumpulan pertama pulang dari Mesir ekoran tercetusnya krisis di negara itu.

Rombongan tersebut disambut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Turut bersama menyambut ialah pegawai YIK dan ibu bapa.

Mereka antara pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di Mesir dalam misi menyelamat sejak 2 Februari yang lalu.

Kata Asri, beliau dan jawatankuasa menyaksikan suasana krisis di Mesir itu semakin meruncing, menyulitkan kehidupan pelajar.

Walau pun keselamatan didakwa terkawal, namun makanan sukar diperolehi terutama apabila kebanyakan kedai dan bank ditutup.

“Oleh kerana itu, Getir membuat keputusan bahawa pelajar (hendaklah) pulang ke tanah air, adalah lebih baik.

“Kedutaan pada masa itu berkata (keadaan) ‘OK’, pada peringkat ‘kuning’, bahkan Kerajaan Malaysia pun mendakwa ‘tidak apa’.

“Namun pada masa itu kita mengeluarkan kenyataan untuk mendesak Kerajaan Malaysia supaya membawa pulang pelajar Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, krisis yang berlaku di Mesir kini akan memakan masa lama untuk reda, sekali pun pihak kerajaan atau Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan bagi memulihkan keadaan.

Mengulas langkah diambil Getir membabitkan pengurusan pelajar Kelantan di Mesir, beliau memaklumkan bahawa Getir bercadang untuk mengumpul seluruh pelajar berkenaan dalam satu upacara khas bagi mendengar masalah dihadapi mereka terutama tentang masa depan pengajian.

“Tindakan kita tidak membezakan fahaman politik pelajar serta keluarga mereka, bahkan misi ini adalah misi kebajikan.

“Kita yakin Kerajaan Negeri akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan di Mesir tentang keadaan pelajar Malaysia bagi memohon jasa baik mereka melanjutkan cuti pengajian,” katanya sambil mendedahkan sejak Pejabat Getir beroperasi di Wisma Yakin, Jalan Gajah Mati di sini, pihaknya menerima panggilan ibu bapa pelajar antara 80 hingga 100 sehari.

Dalam perkembangan berkaitan, pelajar Tahun 3 Pengajian Usuluddin Jabatan Hadis Universiti Azhar, Mohd Anas Kamaruddin dari Kampung Sireh di sini mendakwa ketibaan rombongannya adalah ekoran tekanan ibu bapa terhadap Kerajaan Pusat yang sebelum ini didakwa melambat-lambatkan misi menyelamat pelajar.

“Saya daripada Mesir, satu jam berada di Jedah sebelum pulang ke Malaysia.

“Untuk balik semula ke Mesir, tidak ada perjanjian dibuat Kerajaan Pusat. Berapa lama berada di Malaysia nanti, tidak diketahui, “ katanya.

Nik Nor Shamimi Nik Yusoff dari Selising, Pasir Puteh, Tahun Dua Ijazah Pergigian Universiti Azhar, mengongsi pengalamannya berada dalam suasana ‘revolusi Mesir’ itu apabila terpaksa menghuni rumah sewa berhampiran jalan raya yang terpaksa dipadamkan lampu pada sebelah malam.

“Orang ramai membuat rusuhan, memegang pisau, memegang kayu, dan untuk mendapatkan perlindungan, kami lari berlindung di Rumah Mahasiswa Negeri Kelantan dengan kerjasama Kesatuan Pelajar Kelantan Mesir (KPKM).

“Tidak keluar rumah kerana perintah berkurung.

“Pernah ternampak kereta dan pembahagi jalan terbalik dan kereta terbakar,” katanya.

Tiada ulasan: