Isnin, 21 Februari 2011

DUN Sarawak: SPR sudah 65 peratus bersedia, kata pengerusi

BERNAMA

KUCHING – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan semua pegawai pengurus pilihan raya (RO) yang telah dilantik untuk mengurus proses pilihan raya negeri Sarawak kali ini merupakan mereka yang layak dan berpengalaman, kata Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata semua 71 pegawai berkenaan yang telah dilantik dengan dibantu 159 penolong RO akan dilatih sepenuhnya untuk mengendali proses pilihan raya secara seragam selain memahami peruntukan undang-undang SPR.

“Kebanyakan RO yang kita lantik adalah mereka yang memang berpengalaman dan layak serta faham undang-undang SPR,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat dan taklimat RO Zon Kuching di sini hari ini.

Sebagai persiapan menghadapi pilihan raya negeri Sarawak ke-10, Abdul Aziz berkata SPR juga akan mengadakan program yang sama untuk RO di Zon Sibu pada Rabu ini dan di Zon Miri pada Jumaat.

Menurutnya SPR mahu semua RO yang telah dilantik mengikut peraturan yang ada dalam SPR secara seragam di semua tempatan penamaan calon dan pengundian.

Beliau berkata untuk pilihan raya Sarawak kali ini seramai 21,000 petugas akan ditugaskan di setiap kawasan pilihan raya iaitu membabitkan 1,740 pusat pengundi dan 2,561 saluran pengundi.

Katanya SPR memperuntukkan bajet sebanyak RM45 juta untuk pilihan raya kali ini dan ia turut melibatkan kos logistik seperti penggunaan helikopter (24), bot laju (63), perahu panjang (919) selain kenderaan pacuan empat roda (4,124).

“Kita sudah bersedia sekitar 65 peratus untuk menghadapi pilihan raya Sarawak, untuk lain-lain persiapan kita yakin dapat percepatkan kerana SPR cukup berpengalaman dalam mengurus proses pilihan raya ini,” katanya.

Abdul Aziz berkata Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan tampat tempoh secara rasminya pada 24 Julai ini.

Tiada ulasan: