Isnin, 14 Februari 2011

DUN Merlimau: Calon PAS diumum 24 Feb.


KUALA LUMPUR — PAS dijangka akan mengumumkan nama bakal calonnya bertanding pada pilihan raya kecil DUN Merlimau pada 24 Februari ini — dua hari sebelum proses penamaan calon.

Difahamkan tarikh itu telah diputuskan oleh mesyuarat dewan harian parti itu semalam.

PAS akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja pusatnya hari ini untuk menyenaraipendekkan nama-nama yang telah dikemukakan oleh peringkat kawasan dan badan perhubungan negeri.

“Calon akan diumumkan pada 24 Februari, insya-Allah, sudah diputuskan tarikh pengumuman,” kata seorang pemimpin parti kepada The Malaysian Insider.

“Kemungkinan akan (dibincangkan), ia mungkin salah satu perkara mesyuarat hari ini,” kata pemimpin itu ketika ditanya sama ada mesyuarat pagi ini akan memfokus kepada soal itu.

Hari pengundian pilihan raya kecil DUN Merlimau akan diadakan 6 Mac dengan penamaan calon pada 26 Februari.

Kelmarin, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar) berkata nama calon PAS akan diumumkan di Merlimau dalam beberapa hari lagi.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari lalu.

Timbalan Pesuruhjaya I PAS Melaka Adly Zahari sebelum ini memberitahu The Malaysian Insider bahawa PAS Melaka mahu menurunkan calon popular untuk merampas kerusi Merlimau daripada penguasaan BN.

Selain itu, PAS Melaka juga akan mempertimbangkan sama ada akan meletakkan calon wanita dalam pilihan raya kecil kawasan itu.

Katanya, senarai nama itu akan dibawa ke peringkat tertinggi PAS hari ini untuk membuat keputusan.

The Malaysian Insider difahamkan PAS Melaka berkemungkinan mempertimbangkan calon wanita iaitu Setiausaha Dewan Muslimat PAS Melaka, Kintan Man selain Ketua Penerangan PAS Melaka Kamaruddin Sidek, Yang Dipertua PAS Jasin Jasme Tompang dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin Yuhaizan Abdullah.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme dengan majoriti 2,154 undi.

Tiada ulasan: