Selasa, 15 Februari 2011

DUN Merlimau: BN umum calon 23 Feb

THE MALAYSIAN INSIDER


Muhyiddin berkata senario Mesir tidak boleh dibandingkan dengan amalan Malaysia. — gambar fail

MELAKA — Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calonnya bakal bertanding pada pilihan raya kecil DUN Merlimau 23 Februari ini, sehari sebelum pengumuman PAS yang mewakili Pakatan Rakyat.

Keputusan itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

PAS pula akan membuat pengumuman pada 24 Februari.

Penamaan calon diadakan pada 26 Februari.

Muhyiddin yang juga timbalan pengerusi BN berkata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam telah menyerahkan senarai nama calon tersebut kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk dipertimbangkan.

“Kita sedang memeriksa latar belakang semua nama-nama yang kemukakan, banyak yang layak, orang di sini, yang memang telah dicadangkan di peringkat bahagian Jasin,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat dan perjumpaan dengan jentera BN pada pilihan raya kecil DUN Merlimau di Merlimau.

Mohd Ali sebelum ini menyatakan sebanyak tujuh nama disenaraikan untuk dipertimbangkan oleh Najib yang juga Pengerusi BN untuk dipilih sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya daripada BN Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari lalu.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata beliau dimaklumkan jentera BN sudah bersiap sedia untuk melaksanakan tugas secara berfokus dan terancang dengan harapan untuk meraih sokongan yang lebih besar daripada pengundi.

“Saya beritahu mereka dalam mana-mana pilihan raya termasuk pilihan raya kecil ini pengundi adalah raja, mereka penentu bagi kita, sepatutnya kita membentuk satu hubungan yang rapat dengan pengundi bukan setakat menemui mereka tetapi mendengar perkara yang mereka mahukan kita dengar,” katanya dipetik Bernama.

Ditanya kemungkinan pembangkang akan memainkan semangat perubahan di Mesir pada pilihan raya kecil DUN Merlimau, Muhyiddin berkata rakyat tahu apa yang kita amalkan di Malaysia dan apa yang telah kita usahakan selama ini tidak boleh bandingkan dengan apa yang berlaku di Mesir.

“Senario di sana berbeza, sistem kerajaannya tidak serupa dan mungkin masalah yang timbul hingga menyebabkan dikatakan revolusi kerana rakyat tidak puas hati, tidak ada perhatian soal nasib mereka.

“Di Malaysia sejak awal hingga sekarang tumpuan kita tidak ada yang lain ialah soal kebajikan rakyat, walaupun ada masalah dan cabaran bukan mudah tetapi kita akui yang ia menjadi perhatian, di bawah kepimpinan Perdana Menteri sekarang ini rakyat didahulukan,” katanya.

Beliau berkata di Malaysia rakyat sudah terdidik dengan sistem demokrasi di mana rakyat boleh bersuara melalui pelbagai saluran.

Tiada ulasan: