Jumaat, 4 Februari 2011

Dua Pegawai Dihantar Urus Rakyat Di Mesir - Dr Halimah

TVS NEWS

SHAH ALAM : Kerajaan Negeri Selangor mengambil inisiatif dengan menghantar dua pegawai daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke Jeddah untuk menyambut pelajar Selangor.

Menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata tujuan Kerajaan Negeri menghantar pegawai terbabit supaya dapat memberi bantuan dari segi makanan dan perubatan serta dapat memberi maklumat kepada Bilik Operasi Kerajaan Selangor dalam menyampaikan perkembangan terkini mereka di sana.

"Tujuan kita menghantar pelajar ke sana adalah untuk memudahkan mereka mendapat bantuan makanan, keselamatan, kebajikan (perubatan), jadi lebih mudah daripada kita bawa pulang pelajar yang mungkin tidak sampai 300 orang dalam satu perjalanan, itu di antara langkah permulaan dalam memudahkan kita memindahkan pelajar ini ke Malaysia," katanya.

Tv Selangor difahamkan dua pegawai terbabit ini menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan kerjasama Wisma Putra pada jam 9 malam tadi.

Halimah menambah dengan penghantaran dua pegawai ini, dapat memudahkan Kerajaan Negeri merancang tindakan yang selanjutnya dan juga bersedia dengan apa jua kemungkinan yang bakal berlaku di sana.

"Daripada segi input kita boleh merancang apa tindakan sewajarnya atau selanjutnya, sebab kita perlu untuk mendapatkan input terkini yang agak segera dan juga kemungkinan-kemungkinan lain yang diperlukan kita bersedia dengan keadaan yang mungkin berubah tiba-tiba sebab kita tahu di Mesir pun masih lagi tegang,"katanya.

Dilaporkan terdapat kira-kira 11,000 rakyat Malaysia di negara itu dan daripada jumlah tersebut 1060 adalah pelajar Selangor.

Kepada ibu bapa yang ingin mengetahui perkembangan terkini keadaan para pelajar di Mesir boleh menghubungi Bilik Operasi ditalian seperti berikut 03-55143520/3534/3538/3539/3576.

Pertubuhan sukarela Briged Amal Selangor bersama Yayasan Amal Selangor telah diarah untuk menyediakan tenaga pembantu bagi membantu Bilik Gerakan yang beroperasi 24 jam itu.

Tiada ulasan: