Rabu, 23 Februari 2011

Dr Pornthip sahkan kehadiran beri keterangan kepada suruhanjaya siasatan

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini mengesahkan bahawa Pakar Patologi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand telah menyatakan persetujuan untuk memberi keterangan.

Setiausaha suruhanjaya, Datuk Saripuddin Kasim berkata pihaknya sedang berurusan dengan Dr Pornthip (gambar) bagi menetapkan tarikh yang sesuai untuk beliau berbuat demikian.

Dalam satu kenyataan, Saripuddin berkata Suruhanjaya itu telah mendapatkan bantuan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London untuk membantu menghubungi Pakar Forensik British Prof Dr Peter Vanezis.

Dr Vanezis dan Dr Pornthip pernah memberi keterangan pada inkues yang lalu, masing-masing dilantik oleh keluarga Teoh dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suruhanjaya Siasatan itu dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat “keputusan terbuka” berhubung kematian Teoh.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Tiada ulasan: