Rabu, 9 Februari 2011

Detik cemas lima beranak

SINAR HARIAN ONLINE

SABAK BERNAM – Sepasang suami isteri bersama tiga anak mereka berdepan detik mencemaskan menjadi tahanan di rumah sendiri oleh empat lelaki yang tidak dikenali, kira-kira-jam 3.15 pagi, semalam.

Pengalaman mencemaskan itu dialami keluarga terbabit selepas kediaman mereka dipecah masuk empat penyamun terbabit awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 pagi itu, suspek berjaya melarikan sebuah kereta Toyota Avanza, barang kemas bernilai RM6,000, wang tunai RM2,000, lima telfon bimbit dan sebuah komputer riba.

Mangsa, Siti Aishah Setu, 50, berkata, ketika kejadian semua penghuni sedang tidur di bilik kecuali anak gadisnya, Hanifah Mohd Ishak, 17, tidur di ruang tamu.

“Salah seorang dari dua penjenayah penjenayah merentap tangan Hanifah untuk mengejutkannya dari tidur. Manakala dua lagi naik ke rumah atas mengejutkan seorang lagi anak gadis kami, Misnati yang berada di bilik.

“Kami dihimpunkan setempat dan ibu jari kedua belah tangan kami diikat menggunakan ‘cable tight’,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, keempat-empat suspek masuk melalui tingkap yang diumpil.

Kesemua suspek memakai topi, menggunakan baju dan tudung milik keluarga mangsa menutup separuh wajah mereka dan bersenjatakan parang, kayu, batang besi dan pisau.

Sementara itu, suami Siti Aishah, Mohd Ishak Sabran, 53, yang ketika kejadian berada dalam bilik dikejutkan dengan tindakan suspek yang mengugut mencederakan anaknya, Hanifah jika dia enggan keluar dari bilik.

“Hanifah menangis di hadapan pintu bilik dan untuk mengetahuinya saya cuba membuka sedikit pintu, malangnya, penjenayah menghunus parang dan terkena tapak tangan saya. Saya kemudiannya diarahkan berbaring dan mereka mengikat kedua-dua ibu jari kaki.

“Mereka kemudiannya menyelimutkan badan saya kemungkinan bimbang melihat darah yang begitu banyak.

"Kami juga tidak melawan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Alhamdulillah, kami sekeluarga bersyukur kerana selamat dalam kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan giat dijalankan bagi memburu suspek.

Tiada ulasan: