Jumaat, 11 Februari 2011

Daftar Pengundi Meningkat, Petanda Baik Untuk Demokrasi

TVS NEWS



SHAH ALAM : Ahli Jawatankuasa Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil(Bersih), Zaid Kamarudin menyifatkan peningkatan berganda pendaftaran pengundi-pengundi baru pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya seperti yang dijangkakan Suruhanjaya Pilihan Raya atau SPR adalah petanda baik kepada sistem demokrasi negara.

Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berpendapat spekulasi pilihan raya umum ke-13 dan demam pilihan raya negeri Sarawak dalam masa terdekat, dijangka akan mempengaruhi peningkatan jumlah permohonan untuk menjadi pengundi baru yang sah tahun ini.

"Seperti mana yang dimaklumkan oleh SPR, bagi kami ia satu petanda yang baik, dan kita juga berharap semaksimum mungkin warganegara yang layak berjaya didaftar sebagai pengundi," katanya.

Tambahnya lagi, jangkaan peningkatan pendaftaran pengundi ini sejajar dengan hasrat Bersih iaitu meningkatkan jumlah pengundi selain mencadangkan pendaftaran pengundi secara automatik kepada warganegara genap umur 18 tahun

Menurut Zaid, peningkatan jumlah pendaftaran pemilih baru mungkin terkesan daripada kekerapan pilihan raya kecil sejak Mac 2008.

Selain itu, Zaid turut mengambarkan peningkatan ini juga adalah hasil keras semua pihak dan parti politik yang ada dalam usaha menarik pengundi baru.

"Peningkatan ini memang kita nampak hasil gigih pelbagai pihak untuk mendaftarkan pengundi," katanya.

Disamping itu katanya ketika dihubungi Tv Selangor perkembangan politik tanah air semenjak PRU lepas banyak memberi kesan peningkatan selain membuktikan nilai kuasa rakyat amat penting dalam menentukan pemerintahan negara.

"Kita juga merasakan selepas PRU yang lepas, sebelum itu dan perkembagan dunia umumnya, menunjukan nilai kuasa rakyat sebagai pengundi penting.

"Dari satu sudut, masyarakat mula sedar pentingnya untuk mengundi dan mereka mula mendaftar untuk memilih kepimpinan yang layak mewakili mereka di sidang DUN dan Parlimen," katanya.

Tiada ulasan: