Ahad, 20 Februari 2011

Ceroboh Tanah Rekreasi, DBKL Digesa Ambil Tindakan- Khalid Ibrahim

Ditulis oleh Afeeqa Afeera



BANDAR TUN RAZAK : Walaupun menceroboh tanah rekreasi awam di Kampung Malaysia Raya tetapi tiada tindakan diambil oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur terhadap Kumpulan Maju Holding Berhad.

Justeru, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini menggesa DBKL untuk segera menyiasat ‘kekebalan’ syarikat ini dari segala tindakan undang-undang demi kesejahteraan rakyat di kawasan berkenaan.

Khalid yang juga Menteri Selangor berkata, DBKL seharusnya turun padang dan meminta sokongan rakyat bagi menyelesaikan isu ini. Bagaimanapun, Khalid dalam nada tegas menolak dakwaan pihak tertentu yang mengatakan DBKL ‘bersekutu’ bersama pihak pemaju mengenai isu berkenaan.

“DBKL tidak boleh dianggap bersekongkol dengan Maju Holding. Kalau ia berlaku, maknanya DBKL telah melepaskan tanggungjawab untuk menjaga kepentingan rakyat," terangnya.

Dalam pada itu, Khalid menegaskan, sikap penting diri Kumpulan Maju Holding haruslah dipandang serius oleh semua pihak bagi mengelakkan masalah sama dari terus berulang.

Sebagai pemaju, Khalid berkata, Kumpulan Maju Holding seharusnya memikirkan kepentingan penduduk setempat dan bukannya hanya mengambil kira kepentingan peribadi mereka.

“Maju Holding telah menggunakan tanah lapang untuk pembinaan rumah-rumah keluarga mereka. Ini mesti diselesaikan. Saya bercakap sebagai Menteri Besar, jika pelan telah tunjuk tanah lapang, jika nak buat perubahan, kita kena pastikan ada pendegaran awam untuk pengetahuan rakyat.

Adalah tanggungjawab pemaju sekurang-kurangnya untuk gantikan tempat tadahan air. Sebab itu berlaku banjir, tiada tempat tadahan air. Dan sebab itu jugalah air melimpah," jelasnya.

Justeru, Khalid mencadangkan agar semua penduduk yang melakukan demonstrasi sebelum ini untuk menyusun strategi seterusnya bagi menyelesaikan masalah ini dengan mengambil kepentingan semua pihak.

Sementara itu, Ahmad Fauzee yang merupakan wakil penduduk Kampung Melayu tambahan berkata, banjir yang sering melanda kediaman mereka sejak 2007, kini semakin bertambah buruk hari demi hari ekoran tiada tindakan diambil pihak berkuasa.

“Benda ni berlaku pada tahun 2006, namun banjir serius berlaku pada 2007. Pada masa ini penambakan sedang pesat dibuat. Ketika air lopak masih ada dan ketika itulah penambakan dibuat sehingga menyebabkan tanah-tanah selut ditambak masuk ke lot rumah. Jadi banjir kerap berlaku pada musim hujan iaitu bulan Mei,” jelasnya.

Kampung Malaysia Raya sebelum ini sering dilanda banjir kilat dengan anggaran sebanyak 25 kali sejak tahun 2007 iaitu selepas bermulanya pembinaan Terminal Bersepadu Bandar Tasik Selatan.

Difahamkan, banjir tersebut berlaku adalah disebabkan saliran dan longkang-longkang kecil yang dibina tidak dapat menampung air hujan yang turun akibat daripada penambakkan serta penutupan lombong tadahan banjir di Kampung Malaysia Tambahan yang tidak mendapat kelulusan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS).

Tiada ulasan: