Isnin, 28 Februari 2011

Calon PAS: Usah banding dengan Galas atau Tenang, Merlimau bukan lagi kubu BN



Yuhaizat Abdullah yakin PAS boleh melakukan kejutan pada pilihan raya kecil DUN Merlimau. — Foto oleh Jack Ooi

JASIN — Calon PAS Yuhaizat Abdullah berkata kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau bukan lagi kubu kuat Barisan Nasional (BN) ekoran kejayaan parti Islam itu berjaya mengurangkan majoriti undi pada pilihan raya umum 2008.

Pada pilihan raya umum lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Allahyarham Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

Berbanding 2004, Mohamad Hidhir yang mewakili BN menang dengan majoriti 5,087 undi mengatasi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jayathas Sirkunavelu ketika itu.

Yuhaizat yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka berkata, walaupun sukar untuk mencapai kemenangan, namun ia bukan penghalang untuk mencipta sejarah buat parti Islam itu mempunyai seorang wakil rakyat di Melaka.

“Kita ambil keputusan daripada pilihan raya umum 2008 yang mana kita mengurangkan majoriti hampir 3,000 di Merlimau.

“Walaupun sukar tapi ia tidak mustahil, kita melakukan sejarah di Melaka untuk kurangkan majoriti seterusnya kurangkan undi dan melihat kemenangan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi yang mana 23 kerusi tersebut dipegang BN manakala lima lagi diwakili DAP.

Dalam pilihan raya kecil DUN Merlimau, Yuhaizat berdepan dengan calon BN Roslan Ahmad, ahli jawatankuasa Umno Jasin.

Ini merupakan kali pertama kedua-dua calon bertanding dalam pilihan raya.

Ditanya kekalahan PAS pada pilihan raya kecil Galas (Kelantan) dan Tenang (Johor), Yuhaizat menegaskan ia tidak boleh menjadi ukuran untuk BN mencapai kemenangan di Merlimau.

“Kekalahan pilihan raya kecil di Galas dan Tenang, kami sendiri berhadapan dengan BN seolah-olah dalam satu padang bola yang kami diberikan arahan untuk menendang dengan kaki kiri sahaja.

“Tapi Umno pula boleh menendang dengan kaki kiri dan kanan, dengan padang yang tidak rata ini macam-macam boleh berlaku,” kata beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin.

Pakatan Rakyat dilihat berhadapan dengan situasi kemerosotan undi orang Melayu sejak Julai 2009 di mana pada pilihan raya kecil DUN Manek urai di Kelantan, yang pengundinya 99 peratus orang Melayu, PAS hanya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 65 undi berbanding 1,352 pada Mac 2008.

Sokongan orang Melayu dilihat terus mula memihak kepada BN dalam pilihan raya-pilihan raya kecil lalu, daripada tujuh kepada 10 peratus, sekali gus membolehkan perikatan kerajaan pusat itu merampas Hulu Selangor dan Galas daripada Pakatan Rakyat.

Dalam pilihan raya kecil terbaru di Tenang, Johor pula Pakatan Rakyat gagal untuk menerokai sokongan kalangan peneroka Felda, majoritinya orang Melayu, di mana BN menguasai lebih 83 peratus undi.

Jelas Yuhaizat, sokongan pengundi di kawasan Merlimau terutamanya masyarakat Tionghoa terhadap parti Islam itu semakin menunjukkan perkembangan yang positif.

“Sokongan daripada masyarakat Melayu dan Tionghoa amat baik kepada kita dan kita akan jumpa serta mendampingi masyarakat Tionghoa.

“Saya harap masyarakat Tionghoa tidak kekok untuk berikan sokongan kepada kita,” katanya.

Tiada ulasan: