Sabtu, 26 Februari 2011

Calon PAS Hassanuddin yakin rampas Kerdau

BERNAMA

TEMERLOH – Calon PAS, Hassanuddin Salim, percaya pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau di sini akan memberikannya peluang untuk memenangi pilihan raya kecil DUN tersebut pada 6 Mac ini.

Ketua Penerangan PAS Pahang itu berkata untuk meraih lebih banyak sokongan pengundi khususnya di kawasan Felda, beliau bersama jentera parti pakatan pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan berusaha keras bagi menawan hati semua pengundi.

“Saya optimis Pakatan Rakyat mampu menang dalam pilihan raya kecil ini,” katanya ringkas kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh, di sini, hari ini.

Hassanuddin, 43, yang memakai baju Melayu diiringi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS DUN Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Naib Presiden PKR Fuziah Salleh.

Pilihan raya kecil itu akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Hassanuddin dengan calon Barisan Nasional (BN) iaitu Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas penyandangnya, Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, dari BN, meninggal dunia pada 12 Februari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Zaharuddin menewaskan Hassanuddin dengan majoriti 1,615 undi.

Tiada ulasan: