Jumaat, 11 Februari 2011

Calon Merlimau: Umno Jasin kemuka tujuh nama termasuk bekas MP Jasin


KUALA LUMPUR — Umno Jasin telah mengemukakan tujuh nama untuk dipertimbangkan sebagai calon Barisan Nasioanl (BN) bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Merlimau bulan depan.

Ketuanya Datuk Wira Ahmad Hamzah berkata, kesemua tujuh nama itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin melalui Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam selaku pngerusi Umno negeri itu.

Menurut Ahmad, kesemua calon tersebut merupakan anak tempatan Jasin selain mempunyai pengaruh di DUN Merlimau.

“Ya, kita kemukakan tujuh nama kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan calon mana yang akan bertanding di ini (Merlimau).

“Kita serah kepada Perdana Menteri, kita hanya kemukakan nama dan kita terima apa sahaja keputusan yang dibuat,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.Ahli Parlimen Jasin itu bagaimanapun enggan mendedahkan nama-nama calon yang dikemukakan itu.

“Kita tunggu sahaja keputusan Perdana Menteri nanti,” kata Ahmad.

Menurut maklumat yang diterima The Malaysian Insider, tujuh nama yang dikemukakan itu termasuklah bekas ahli Parlimen Jasin Datuk Mohd Said Yusof, tiga ahli jawatankuasa Umno Jasin iaitu Mohamed Nasser Selamat, Roslan Ahmad dan Nasir Bazid.

Selain itu tiga sayap Umno Jasin turut disenaraikan iaitu Ketua Wanita Zaleha Bujang, Ketua Pemuda Zaid Atan dan Ketua Puteri Siti Faizah Abdul Azis.

Jika melihat kesemua nama yang disenaraikan Mohd Said mempunyai peluang cerah untuk menjadi calon kerana mempunyai pengalaman sebagai wakil rakyat selain mempunyai pengaruh yang besar di Jasin.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohd Said digugurkan daripada senarai calon yang akan bertanding dan ia diserahkan kepada Ahmad untuk mewakili BN.

Bagaimanapun difahamkan Mohamed Nasser yang juga Timbalan Ketua Umno Cawangan Merlimau Tengah disebut-sebut sebagai antara pilihan bakal menjadi calon.

Selain itu, tiga lagi calon iaitu Roslan, Nasir dan Zaleha turut berpeluang untuk dipilih mewakili BN bertanding di DUN Merlimau pada 6 Mac ini.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon dan sekiranya ada pertandingan, pengundian pada 6 Mac.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme dengan majoriti 2,154 undi.

Tiada ulasan: