Rabu, 16 Februari 2011

Buang Nama Pornthip Tidak Releven- Surendren

TVS NEWS

SHAH ALAM : Naib Presiden PKR, N Surendran hari ini menyifatkan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) membuang nama pakar patologi forensik, Dr Khunying Pornthip Rojanasunand daripada senarai saksi kematian Teoh Beng Hock adalah sesuatu yang tidak relevan.

Surendran yang dihubungi Tv Selangor berkata, tindakan drastik Jabatan Peguam Negara yang tidak menyenaraikan nama Pornthip menunjukkan sikap tidak serius mereka dalam menegakkan kebenaran hingga ke akar umbi.

Ini kerana menurut beliau, Pornthip adalah saksi utama yang mampu merungkai misteri di sebalik kematian Teoh.

“Pornthip terlibat dalam bedah siasat buat kali kedua yang dijalankan ke atas mayat Beng Hock. Ini menunjukkan beliau adalah saksi utama dalam kes tersebut. jadi saya berpendapat, tindakan Jabatan Peguam Negara tidak memanggil Pornthip telah menunjukkan sikap tidak serius mereka dalam merungkai kematian TBH hingga ke akar umbi,” katanya.

Surendran juga mengatakan tindakan Jabatan Peguam Negara adalah sukar dipercayai kerana Pornthip telah terlibat dalam proses bedah siasat buat kali kedua sebelum ini dan dengan tegas menganggap kes tersebut mustahil untuk diselesaikan tanpa kehadirannya.

“Saya tidak tahu apa dalam fikiran mereka, namun ia tidak masuk akal sama sekali. Dari sudut pandangan undang-undang, ia tidak masuk akal,”dakwanya.

Jabatan Peguam Negara membuang nama Dr Pornthip sebagai salah seorang saksi dalam inkues Teoh Beng Hock daripada senarai saksi yang disediakan untuk kegunaan Suruhanjaya Diraja menyiasat kematian Beng Hock bermula semalam.

Peguam keluarga Teoh Beng Hock, Gobind Singh Deo menjelaskan senarai saksi yang disediakan Jabatan Peguam Negara tidak mencerminkan ketelusan dan tidak memberi keyakinan bahawa Jabatan Peguam Negara adalah badan bebas kerana nama seorang saksi penting semasa inkues Beng Hock tidak dimasukkan.

Tiada ulasan: