Sabtu, 12 Februari 2011

BN perlu ambil iktibar krisis Mesir, kata anggota MT Umno

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah mengingatkan Barisan Nasional (BN) akan berhadapan dengan nasib yang melanda Mesir dan Presiden Hosni Mubarak jika gagal membuat transformasi politik yang dimulakan pemimpin mereka Datuk Seri Najib Razak.

Sehubungan itu kata beliau, pemimpin-pemimpin BN yang parti terasnya Umno perlu mengambil iktibar daripada pergolakan di Mesir yang semalam berakhir dengan Hosni tumbang ekoran kebangkitan rakyat selama 18 hari.

“Kejatuhan Hosni Mubarak harus memberi iktibar kepada Barisan Nasional. Ini adalah contoh, kalau kita tidak berubah, kita akan rebah seperti yang selalu diingatkan oleh (perdana menteri dan pengerusi BN) Datuk Seri Najib.

“Justeru, saya menyeru semua ahli BN supaya bersungguh-sungguh dan bersegera dalam mendokong sepenuhnya transformasi politik yang telah dimulakan oleh Datuk Seri Najib,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Beliau yang juga timbalan menteri pengajian tinggi berkata, sebagai warga dunia yang mencintai kebenaran, keadilan, keamanan sejagat, masyarakat baik serta mendokong demokrasi, “kita bersyukur dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan gerakan prodemokrasi Mesir, yang dianggotai rakyat.”

Dalam pada itu, Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob pula berkata, kemenangan rakyat Mesir semalam bukan hanya “kemenangan rakyat Mesir tetapi kemenangan umat Islam serantau.”

“Hosni bukan sahaja bertindak zalim dan diktator kepada rakyatnya tetapi kepada ummat Islam sedunia apabila beliau bersekongkol dengan kerajaan zionis Isreal dalam membunuh umat Palestin yang tidak berdosa,” kata beliau dalam kenyataan berasingan.

Kata beliau, kesungguhan Hosni untuk tidak membenarkan bekalan ubat-ubatan dan makanan melalui sempadan negaranya di Rafah bagi membantu rakyat Palestin di Gaza, yang ditadbir Hamas, jelas membelakangkan isi hati dan naluri umat Islam dunia amnya.

“Melalui persefahamannya yang intim dengan Israel dan Amerika Syarikat, Hosni Mubarak telah sanggup untuk menggadai prinsip dan akidah perjuangan Islamnya demi untuk menjaga hubungannya dengan kedua-dua negara ini,” kata beliau.

Kata Raja Ahmad Iskandar, di negara sendiri selama hampir 30 tahun pemerintahan kuku besinya, beratus-ratus ulama dan ribuan rakyatnya telah dipenjara dan ada yang hilang tanpa dikesan kerana dituduh menentang kerajaan.

“Demokrasi disekat, kebebasan bersuara dibatas, media dikongkong dan ekonomi hanya dikawal serta dibahagikan di kalangan kroni.

“Kesabaran rakyat Mesir akhirnya telah memberi satu natijah yang luar biasa,” kata beliau lagi.

Justeru kata Raja Ahmad Iskandar, pihaknya berharap pihak berkuasa tentera tidak menyalahgunakan kuasa mereka dalam mengadakan peralihan kuasa sekarang.

“Satu jawatankuasa sementara perlulah dibentuk di kalangan parti-parti politik di Mesir untuk segera mengadakan pilihan raya pemilihan presiden dan bukannya diuruskan oleh pihak tentera.

“OIC (Pertubuhan Persidangan Islam) umpamanya perlulah menghantar wakil bagi mamantau perjalanan peralihan ini daripada campur tangan asing terutamanya Israel dan Amerika Syarikat yang sangat khuatir dengan perkembangan terkini ini,” kata beliau lagi.

Malah kata beliau, Dewan Pemuda PAS sendiri akan segera menghantar wakilnya ke Mesir bagi meninjau perkembangan terkini.

Tiada ulasan: