Jumaat, 18 Februari 2011

BN Pahang kemuka empat nama untuk DUN Kerdau

BERNAMA

KUANTAN: Barisan Nasional (BN) Pahang telah mencadangkan empat nama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk dipilih sebagai calon dalam pilihan raya kecil bagi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, yang juga Pengerusi BN Pahang, berkata semua mereka adalah bakal calon yang boleh menang, bertepatan dengan kehendak Perdana Menteri sebelum ini.
"Disebabkan kerusi itu selama ini ditandingi Umno, keempat-empat nama itu adalah daripada UMNO," katanya selepas menghadiri majlis makan malam anjuran sebuah syarikat di sini malam tadi.
Ditanya sama ada faktor kesihatan diambil kira dalam pemilihan itu, Adnan berkata : "Kalau sihat tetapi orang tidak suka, kita tidak akan pilih, kita pilih calon yang disukai orang."

Kerusi Kerdau kosong selepas penyandangnya, Datuk Zaharuddin Abu Kasim, 63, daripada BN, meninggal dunia akibat serangan jantung di kediamannya pada 12 Februari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi. Beliau memperoleh 4,135 undi manakala Hassanuddin mendapat 2,520 undi.

Adnan berkata, BN akan menggunakan pendekatan yang disukai orang ramai bagi meraih sokongan pada pilihan raya kecil itu nanti.

"Penduduk Kerdau ini terdiri daripada orang yang matang dan tidak mudah diracuni fikiran," katanya.

Tiada ulasan: