Rabu, 2 Februari 2011

Bapa rogol anak depan isteri dipenjara 80 tahun, 40 sebatan

Bapa rogol anak depan isteri dipenjara 80 tahun, 40 sebatan

BERNAMA

KUALA LUMPUR— Seorang bapa kepada sembilan anak dijatuhi hukuman penjara 80 tahun dan 40 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas empat tuduhan merogol anak kandungnya yang berusia 15 tahun tiga bulan, hujung tahun lalu.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat memerintahkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan itu berjalan secara berasingan bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 27 Januari lalu.

Tertuduh yang bekerja di sebuah kedai makan, didakwa melakukan sumbang mahram dengan merogol anak perempuannya yang berumur 15 tahun tiga bulan itu di dalam bilik di rumahnya dalam empat kejadian berasingan iaitu pada pukul 4 petang,awal November 2010, pukul 10 malam pertengahan November 2010, pukul 3 petang Disember 2010 dan pukul 2 petang 23 Januari lalu.

Tertuduh kelihatan tenang ketika menerima hukuman mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan tidak kurang 10 kali sebatan.

Mengikut fakta kes, tiga kejadian rogol yang dilakukan secara paksa terhadap anak kelima daripada sembilan adik-beradik itu telah disaksikan oleh ibu mangsa.

Bagaimanapun perbuatan tersebut gagal dihalang selepas lelaki itu bertindak memukul isterinya.

Pada Disember 2010, pukul 3 petang, tertuduh sekali lagi merogol anaknya ketika isterinya tiada di rumah.

Ibu mangsa kemudian terpaksa meminta bantuan daripada jiran untuk membuat laporan di balai polis berdekatan dan tertuduh akhirnya ditangkap pada 27 Januari lepas di rumahnya.

Mohamad Sekeri ketika menjatuhi hukuman itu berkata seorang bapa seharusnya bertindak sebagai pelindung kepada anak-anak bukannya merosakkan mereka.

“Perbuatan kamu ini akan menjadi titik hitam kepada anak kamu sepanjang hayat,” katanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon hukuman terhadapnya diringankan kerana dia benar-benar insaf akan perbuatannya itu.

“Saya juga menghidap darah tinggi serta sakit jantung, saya merayu hukuman berjalan serentak bermula daripada tarikh ditangkap,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Loon Jia Yian memohon hukuman berat kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius dengan menitikberatkan faktor kepentingan awam.

“Kesalahan tertuduh bukan hanya menyebabkan trauma kepada mangsa tetapi juga kepada keluarga tertuduh.

“Perbuatan itu sama sekali tidak boleh diterima masyarakat, justeru itu saya memohon hukuman yang dikenakan berjalan secara berasingan,” katanya.

Tiada ulasan: