Rabu, 2 Februari 2011

Bantah rejim Mubarak: Demo di kedutaan AS pula

MALAYSIA KINI

Sekumpulan NGO dan pemimpin Pakatan Rakyat dan NGO akan mengadakan perhimpunan kedua bagi membantah tindakan kekerasan yang dilakukan rejim pimpinan presiden Hosni Mubarak ke atas warga Mesir.

Perhimpunan di depan kedutaan Amerika Syarikat ini merupakan susulan kepada perhimpunan yang diadakan pada Isnin di kedutaan Mesir anjuran kumpulan sama.

Ketua pemuda PAS Nasrudin Hasan berkata kumpulan itu akan berkumpul di dua lokasi – Masjid KLCC dan Masjid Tabung Haji sejurus selepas solat Jumaat sebelum bergerak ke kedutaan tersebut di Jalan Tun Razak.

Katanya lagi, kumpulan itu akan menyerahkan satu memoradum yang sama seperti yang dihantar ke kedutaan Mesir pada hari Isnin.

Tambahnya, selain isu kekerasan regim Hosni Mubarak, kumpulan itu juga akan membawa isu kenaikan harga minyak dan barang keperluan rakyat Malaysia.

"Memorundum telah diserahkan kepada kedutaan Mesir tetapi malang pihak kedutaan enggan menerima memorundum kami dan akhirnya memorundum tersebut terpaksa dimasukkan kedalam peti surat kedutaan itu.

"Saya mewakili seluruh pihak penganjur mengharapkan semua ummat prihatin tanpa mengira bangsa dan agama untuk hadhir menyatakan semangat solidariti rakyat Malaysia bersama rakyat Mesir yang kini sedang bangkit menuntut perubahan di negara mereka," kata Nasrudin dalam satu kenyataan hari ini.

Antara kumpulan yang akan hadir dalam perhimpunan itu termasuk Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Angkatan Muda PKR serta 71 NGO antaranya Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (Ilmam), Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Jemaah Islah Malaysia (JIM) serta Gabungan Mansuhkan ISA (GMI).

Setakat ini, dalam bantahan besar-besaran penduduk Mesir, ribuan membanjiri Dataran Tahrir di Kaherah bagi menuntut penamatan 30 tahun pemerintahan Hosni Mubarak.

Sejak Selasa lepas beberapa siri demonstrasi dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak pengunduran Mubarak.

Kebangkitan rakyat Mesir itu kini menarik perhatian seluruh dunia kerana dijangka memberi kesan besar kepada politik dunia Arab secara khusus.

Tiada ulasan: