Jumaat, 4 Februari 2011

Banjir: Negeri Sembilan, Pahang dan Melaka makin pulih

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Banjir yang melanda beberapa negeri kini kian pulih dengan semakin ramai mangsa yang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing manakala pusat pemindahan pula ditutup.

Di Negeri Sembilan, hanya satu sahaja pusat pemindahan yang masih dibuka di negeri ini ekoran keadaan banjir yang bertambah baik.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata sehingga pukul 11 pagi ini seramai 508 orang daripada 135 keluarga berada di pusat pemindahan Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Gemas di daerah Tampin.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir di dua daerah di negeri ini berkurangan kepada 840 orang daripada 2,265 orang petang semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata daerah Temerloh bagaimanapun terus merekodkan peningkatan mangsa banjir iaitu 493 orang daripada 124 keluarga berbanding 457 petang semalam.

Katanya mangsa adalah dari Kampung Batu Kapor seramai 389 orang, Kampung Sungai Buloh Mentakab (102) dan Taman Mutiara Indah (2).

Menurutnya jumlah mangsa banjir di daerah Rompin pula berkurangan kepada 347 orang daripada 86 keluarga berbanding 1,808 petang semalam.

Kampung yang terlibat ialah Kampung Rekoh seramai 168, Bukit Serok (127), Kampung Aur (37), Kampung Denai (9) dan Kampung Lubuk Batu (6).

Sementara itu, semua jalan utama yang ditutup sebelum ini, kini boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Di Melaka, keadaan banjir bertambah baik dengan 461 orang berada di pusat pemindahan berbanding 528 orang pada pukul 6 petang semalam.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri Melaka berkata sehingga pukul 8 pagi ini, seramai 446 orang daripada 98 keluarga berada di dua pusat pemindahan di daerah Jasin.

Lima belas orang daripada lima keluarga ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di daerah Alor Gajah.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membelanjakan RM5.81 juta setakat ini untuk menguruskan pusat pemindahan di empat negeri yang terlibat dengan banjir kali ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata jumlah itu meliputi penyediaan bantuan makanan serta keperluan asas kepada mangsa banjir di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.

“Sepanjang tempoh kejadian banjir kali ini, sebanyak 430 buah pusat pemindahan telah dibuka oleh JKM yang mana 194 pusat masih lagi beroperasi yang menempatkan 44,672 orang mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, JKM juga telah menyediakan 1,147 petugas dan 2,150 sukarelawan untuk membantu dalam kerja pengurusan pesat pemindahan mangsa banjir dan urusan penyaluran bantuan.

Tiada ulasan: