Sabtu, 5 Februari 2011

Banjir: JPS perlu pantau parit, saliran

Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH: Pengerusi Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Temerloh, Ahmad Nizam Hamid meminta pihak berkuasa segera memulihara saliran dan parit terutama di kampung-kampung pesisiran sungai kerana banjir sering berlaku setiap tahun.

Katanya, masalah banjir apabila tiba musim hujan itu berlaku akibat saliran dan parit yang tidak diselenggarakan dengan baik sehingga menyebabkannya tersumbat.

“Pihak Jabatan Parit dan Saliran (JPS) serta Majlis Daerah Temerloh perlu memantau perkara ini kerana banjir melanda penduduk di pesisiran Sungai Semantan hampir setiap tahun.

“Selain daripada itu, projek-projek pembangunan juga perlu dipantau, diseliakan dengan baik dan mengikut spesifikasi yang betul supaya masalah tempat takungan dan aliran air tidak terhalang apabila kawasan tersebut menerima hujan yang banyak,” katanya.

Nizam berkata demikian semasa melawat kira-kira 200 orang daripada 58 keluarga mangsa banjir yang dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Batu Kapor, Mentakab dekat sini hari ini.

Mereka merupakan mangsa banjir yang dipindahkan dari Kampung Batu Kapor, Gajah Mati dan Sungai Buloh dekat sini yang ditempatkan di sekolah berkenaan sejak tiga hari lalu.

Mereka merupakan sebahagian daripada 1,700 mangsa yang terlibat banjir di pusat-pusat pemindahan seluruh Pahang pada ketika ini.

Nizam turut menyampaikan sumbangan PKR berbentuk barangan makanan bagi keperluan mangsa banjir di situ.

“Kerajaan sepatutnya mendahulukan projek-projek untuk kemudahan rakyat seperti inilah supaya mereka tidak menanggung kesengsaraan setiap kali musim hujan.

“Projek pra sarana untuk rakyat ini lebih baik dan bermanfaat berbanding hasrat kerajaan untuk membina menara 100 tingkat seperti yang dicadangkan,” tambahnya.

Tiada ulasan: