Khamis, 3 Februari 2011

Adun PKR Selangor Shuhaimi hadapi tuduhan hasutan Isnin



Shuhaimi Shafiei (dua dari kanan) tiba di pekarangan ibu pejabat polis daerah Shah Alam untuk memberi keterangan berhubung satu entri blognya yang didakwa menghina Sultan Selangor dengan diiringi Shamsul Iskandar Mohd Akin (kanan), 12 Januari lalu.

KUALA LUMPUR — Adun Sri Muda Shuhaimi Shafie dari PKR akan dikenakan tuduhan hasutan Isnin ini ekoran kenyataan beliau berhubung kemelut pelantikan setiausaha kerajaan negeri Selangor baru-baru ini.

Shuhaimi memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau ditahan oleh polis hari ini dan dimaklumkan akan didakwa di bawah Seksyen 4(1)(C) Akta Hasutan minggu depan.

“Saya tidak pasti mengenai skop sebenar tuduhan ke atas saya, tetapi saya percaya ia ada kaitan dengan tulisan saya dalam blog mengenai isu setiausaha kerajaan negeri,” kata beliau ketika dihubungi.

Menurut wakil rakyat itu, pihak polis ada menghubunginya dan meminta agar datang ke ibu pejabat polis daerah Shah Alam semalam.

Bagaimanapun beliau tidak bertemu dengan polis semalam sebab ada ceramah malam tadi.

Beliau telah memberi keterangan kepada polis kali pertama pada 12 Januari lalu.

Dia dibebaskan dengan jaminan mulut.

“Saya ditahan di luar ibu pejabat polis (hari ini),” kata beliau merujuk kepada ibu pejabat polis daerah di Seksyen Shah Alam.

Katanya, biro politik PKR yang diketuai Latheefa Koya akan menguruskan kes beliau.

Selain Latheefa, Shuhaimi juga dijangka akan diwakili oleh peguam Amer Hamzah Arshad, Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah dan Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Pada 27 Januari lalu, Shuhaimi dan pegawai khasnya Mohamad Azmin Abdul Karim sekali lagi memberi keterangan kepada polis tetapi ia mengenai kejadian Pusat Khidmat Adun itu disimbah cat merah 7 Januari lepas.

Shuhaimi sebelum ini didakwa menghina Sultan Selangor berhubung isu pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru dalam blognya srimuda.blogspotcom pada 30 Disember lepas.

Polis telah mengambil beberapa peralatan komputer dari Pusat Khidmat Adun Sri Muda di Kota Kemuning pada 14 Januari lalu.

Pada 24 Januari lalu, Shuhaimi yang juga Timbalan Ketua cabang PKR Kota Raja mengesahkan telah menghantar surat memohon menghadap Sultan Selangor bagi memberi penjelasan dan memohon maaf berhubung kenyataan itu menerusi blognya.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan awal bulan lalu berkata, sindiran Shuhaimi yang menyatakan baginda seolah-olah sebagai “beraja di mata, bersultan di hati” adalah amat keterlaluan dan boleh mengelirukan rakyat.

Shuhaimi telah pun bagaimanapun menafikan kenyataannya itu bertujuan menghasut rakyat dan menghina Sultan

Tiada ulasan: