Khamis, 24 Februari 2011

Adakan PRK Pelabuhan Klang Dulu Baru Minta Kabinet Bayangan PR

Oleh Suara Keadilan

faekah1Tindakan Perdana Menteri yang tiba-tiba mencabar PR menyediakan kabinet bayangan memberi beberapa reaksi dan telahan. Saya lebih suka melihat ia sebagai positif. Beliau sendiri berasa takut dengan barisan kepemimpinan yang PR miliki. Apatah lagi beliau begitu gusar dengan barisan kabinetnya yang rata-rata mempunyai bebanan yang bakal menjadi asas kejatuhan BN.

Beban yang beliau sendiri kendung nampaknya begitu menonjol. Hinggakan beliau tidak mempunyai kekuatan merombak kabinetnya walau desas desus kuat mendesak beliau berbuat demikian.

Namun apa yang lebih mencabar kredibiliti beliau selaku PM ialah mana mungkin beliau boleh mencabar PR dalam keadaan beliau sendiri belum terbukti kehebatannya.

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada April 2009 yang lalu, kita tertunggu-tunggu pilihan raya awal dilakukan. Memang menjadi amalan, PM yang baru mengambil tampuk pemerintahan akan memanggil pilihan raya (snap election) kerana perlu mendapat mandat baru untuk memerintah dengan bermaruah dan berkredibiliti. Bukan sekadar mewarisi takhta mengikut formula lapuk UMNO. Ternyata Najib tidak mempunyai kekuatan diri untuk melakukannya walau setelah 2 tahun menjadi PM.

Sekurang-kurangnya Tun Abdullah Ahmad Badawi telah memanggil pilihan raya umum pada 2004; kurang dari setahun memerintah negara. Meskipun beliau dilihat lemah tetapi hakikatnya lebih berani dan tidak teragak-agak dalam meletakkan mandat rakyat sebagai ciri utama untuk menerajui kerajaan. Sebaliknya, bukan setakat takut dan kurang yakin, Najib jauh lebih dahsyat lagi. Ratusan juta wang rakyat pula yang dibelanjakan membayar perunding Yahudi semata-mata mahu memulih imej yang tercalar teruk dengan pelbagai skandal yang menjadi bualan dunia.

Kegagalan Najib membuktikan kehebatan politiknya terserlah di Selangor dalam isu kerusi Pelabuhan Klang. Begitu mudah menginjak Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dengan mengenepikan keputusan Speaker DUN dan mencabarnya pula di mahkamah. Kita maklum, mahkamah akan menyebelahi pemerintah dalam hal ini apabila menjadikan kes Perak yang pada ketika itu Najib adalah Pengerusi Negeri Perak sebagai rujukan.

Sepatutnya Najib menggunakan kesempatan kekosongan kerusi Pelabuhan Klang sebagai tanda ukur kekuatan UMNO di Selangor. Bukan menabur fitnah ke atas kerajaan PR Selangor. Ternyata beliau tidak yakin dan takut dimalukan. Akhirnya terpaksa menggunakan mahkamah untuk menutup kelemahan.

Justeru, adalah lebih baik Najib memastikan dahulu beliau benar-benar mendapat mandat rakyat di negara ini sebelum dengan tidak semena-mena mencabar PR membariskan kabinet bayangan. UMNO Selangor yang masih kucar kacir walaupun setelah menerajuinya selama dua tahun, hingga tidak mahu berhadapan pilihan raya kecil di Pelabuhan Klang sudah cukup untuk Najib bermuhasabah dan meneliti masalah dalaman UMNO. Agak aneh bunyinya bila kita berani mencabar sedangkan diri masih tempang.

FAEKAH HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK KEPADA MENTERI BESAR SELANGOR

Tiada ulasan: