Ahad, 27 Februari 2011

Ada Pekan Dua Tahun Tiada Air, Apa Jadi Dengan Peruntukkan RM1.4 Billion?

Ditulis oleh Roy


SHAH ALAM : Ahli Parlimen Indera Makhota, Azan Ismail membidas kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakop bahawa kerajaan Umno-BN Pahang tidak membazirkan peruntukkan RM1.4 Billion yang diberi oleh kerajaan pusat.

Bercakap kepada TVSelangor, beliau mempersoalkan sekiranya benar peruntukkan tersebut digunakan untuk membaik pulih dan menaik taraf paip-paip air serta 52 loji rawatan air di seluruh negeri Pahang, bagaimana pula masih terdapat pekan-pekan besar dan kawasan bandar masih menghadapi masalah bekalan yang cukup remeh.

"Pinjaman yang diterima untuk beberapa jangkamasa itu bertujuan untuk pembaikan, tapi buat masa ini kita tengok 'on the ground', kemudahan bekalan air di Pahang memang teruk.

Di sebelah Temerloh, dua tahun bekalan air terputus tidak dibaiki. Di sebelah Kuantan, di Bandar Kuantan, paip air dalam sehari sekurang-kurangnya lima tempat pecah, setiap tempat mesti ada. Apa masalahnya selepas menerima RM1.4 Billion peruntukan pinjaman, sampai sekarang kemudahan itu tak siap," jelas beliau.

Kata beliau, permasalahan bekalan air mula timbul di negeri berkenaan hanya setelah kerajaan negeri mengumumkan untuk menswastakan prasarana air di negeri tersebut.

Katanya lagi, ini menimbulkan syak sekiranya ia merupakan sesuatu yang dirancang agar alasan tersebut dapat digunakan untuk melaksanakan penswastaan sektor bekalan air serta pada masa yang sama mempergunakan isu ini untuk tujuan politik.

"Sekarang ini di negeri Pahang, dia (MB) kata dalam proses untuk menswastakan bekalan air, nak buat macam negeri-negeri lain.

Bermulalah banyak masalah terutama apabila kita tengok adanya dalam bil-bil bekalan air, subsidi kerajaan 50 peratus, benda-benda macam ini yang menjadi bahan ketawa rakyat negeri Pahang sebab rakyat tahu, perkara ini perkara yang tidak masuk akal, tidak munasabah dan untuk tujuan politik semata-mata," tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau menambah, kerajaan negeri memperuntukkan RM360 juta pinjaman jangka pendek kepada syarikat berkait kerajaan negeri, Pasdec Holdings Bhd dalam belanjawan negeri Pahang bagi tahun 2011 tetapi apa yang aneh ialah tiada anak syarikat kerajaan negeri di negeri-negeri lain pernah mendapat pinjaman sebegitu.

"Maka kita kena tanya Menteri Besar Pahang, pinjaman ini untuk tujuan apa? Kalau dah wang RM1.4 Bilion untuk tujuan naik taraf paip-paip air dan loji rawatan, tambahan RM360 juta ini untuk apa? Jadi saya minta MB Pahang, selidik, teliti peruntukkan kerana saya takut dia tak meneliti," tegas beliau lagi.

Tiada ulasan: