Isnin, 31 Januari 2011

Wisma Putra nilai keperluan pindah pelajar di Mesir

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Timbalan Menteri Luar A. Kohilan akan berlepas ke Kaherah malam ini mengetuai sepasukan lima orang untuk menilai keadaan semasa di sana serta melihat keperluan memindah lebih 11,300 pelajar serta rakyat Malaysia, berikutan krisis politik dan hura-hara yang semakin memuncak di negara itu.

Kohilan berkata bergantung kepada keadaan, antara penilaian dan pilihan yang akan dibuat ialah mengenai sama ada pelajar dan rakyat Malaysia perlu dibawa keluar terus ke Malaysia mahupun dipindahkan ke negara berhampiran seperti Arab Saudi dan Libya.

Menurutnya antara pilihan yang akan dilihat ialah membawa atau memindahkan melalui jalan darat, laut dan udara, tetapi semuanya bergantung kepada keadaan di sana yang sentiasa berubah.

Berikutan perkembangan terbaru, beliau berkata kerajaan telah menaikkan tahap klasifikasi keselamatan yang sebelum ini kuning kepada oren kerana “situasi telah mula membahayakan rakyat Malaysia.”

“Jadi kita akan pergi ke sana dan melihat sama ada perlu membawa keluar pelajar-pelajar kita dan rakyat Malaysia atau mempunyai cara lain untuk terus memberi bantuan kepada mereka...kita akan lihat akan kesesuaian (pilihan yang ada)...kita boleh merancang macam macam cara tapi mungkin keadaan di sana agak lain sedikit,” katanya kepada pemberita di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR), di sini, hari ini.

Kohilan berkata pasukan tinjauan ini dianggotai oleh wakil dari Pejabat Perdana Menteri, Majlis Keselamatan Negara dan juga dari Kementerian Luar Negeri bagi menilai keadaan semasa sebelum sebarang pemindahan rakyat Malaysia dilakukan.

Katanya Majlis Keselamatan Negara telah mengadakan mesyuarat kali kedua membincangkan pemindahan pelajar Malaysia di Mesir berikutan keadaan yang semakin buruk akibat tunjuk perasaan besar-besaran rakyat menuntut pengunduran Presiden Hosni Mubarak.

“Adalah dinasihatkan supaya rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan atau lawatan tidak penting ke Mesir. Rakyat Malaysia yang berada di Mesir juga dinasihatkan mematuhi arahan pihak berkuasa Mesir termasuk arahan perintah berkurung serta mengambil langkah-langkah keselamatan sewajarnnya seperti yang dimaklumkan kedutaan besar Malaysia di Kaherah,” kata Kohilan.

Menurut Kohilan, setakat ini sejumlah 11,319 pelajar Malaysia berdaftar dengan kedutaan Malaysia di Kaherah dan tidak menolak kemungkinan angka ini lebih besar lagi dan menambah kata bahawa setakat 12 tengah hari ini, kesemua pelajar dan rakyat Malaysia dilaporkan selamat di negara itu.

Kohilan menjelaskan bahawa misi ini hanya untuk menilai keadaan untuk keperluan pemindahan, serta memberi segala bantuan yang diperlukan dan memastikan keselamatan pelajar dan rakyat Malaysia dan tidak ada sebarang perjumpaan akan dilakukan dengan sebarang menteri negara Mesir.

Tiada ulasan: