Sabtu, 22 Januari 2011

Usul pindaan: Speaker DUN minta Umno jangan jadikan isu

TERKINI


SHAH ALAM — Speaker Teng Chang Khim meminta Umno tidak mempolitikkan kegagalan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengedarkan draf usul pindaan Perlembagaan negeri sambil menegaskan, ia berpunca daripada kekangan masa.

Teng (gambar) berkata berdasarkan Peraturan Mesyuarat 10(3), dokumen-dokumen berkenaan boleh diedarkan kepada wakil rakyat pada hari persidangan, sebelum sidang bermula.

“Saya berharap perkara ini tidak dijadikan isu.

“Malah, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sudah pun membuat pengumuman mengenai pindaan dan kesemua akhbar sudah pun menyiarkan laporan mengenainya,” kata beliau pada sidang media hari ini.

Justeru, kata beliau, maklumat mengenainya sudah pun diedarkan dan tiada agenda tersembunyi.

DUN Selangor mengadakan sidang khas Isnin ini bagi membahaskan pindaan Perlembagaan Negeri.

Teng berkata pegawai-pegawai DUN hanya menerima salinan draf pindaan kelmarin dan bekerja keras dalam waktu yang singkat untuk dikemukakan pada sidang Isnin ini.

“Saya dimaklumkan oleh setiausaha Dewan pagi ini bahawa kesemua wakil rakyat telah diminta untuk mendapatkan pindaan perlembagaan dan Aturan Mesyuarat hari ini,” kata beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak memberikan kerjasama agar dokumen dapat diterima oleh mereka pada masanya.

Semalam, Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Nor Omar mengadu pegawai-pegawai Dewan telah gagal membekalkan draf pindaan perlembagaan kepada Ketua Pembangkang Datuk Mohamad Satim Diman.

Noh menyelar sikap kerajaan negeri dengan berkata tidak telus meminda perlembagaan negeri kerana sehingga kini tiada sebarang draf pindaan itu diberikan kepada Adun BN.

Katanya, Mohamad Satim telah mengemukakan surat kepada Setiausaha DUN, pada Isnin lalu tetapi tidak ada sebarang mendapat maklum balas.

“Di mana ketelusan kerajaan negeri, mereka kata nak pinda perlembagaan negeri atas dasar kepentingan umum. Sepatutnya mereka berikan draf pindaan lebih awal untuk kita teliti dan bahaskan dalam sidang DUN.

“Namun hingga ke hari ini tidak diberikan seolah-olah kerajaan negeri mahu ‘menyerang hendap’ Adun BN pada sidang dewan itu nanti,” ujarnya.

Tiada ulasan: