Rabu, 19 Januari 2011

Undi proksi: SPR masih timbang input rakyat, kata Nazri

THE MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPUR — Kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof mengenai kajian memperkenalkan sistem undi proksi hanyalah satu cadangan yang belum diputuskan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, sebarang pindaan dalam akta suruhanjaya itu perlu dikemukakan melalui memorandum dan dibawa ke persidangan jemaah menteri terlebih dahulu sebelum ia dimuktamadkan.

Katanya, buat masa ini cadangan itu telah dikemukakan oleh SPR untuk mendapat maklum balas daripada rakyat sama ada mereka bersetuju dengan sistem itu atau tidak.

“Saya telah dihubungi oleh beliau dan katanya SPR dalam proses untuk berjumpa rakyat serta meminta apa pandangan yang perlu dan dimahukan oleh rakyat.

“Jadi kita pertimbangkanlah. Tetapi apa pun pindaan yang dibuat dalam akta SPR, ia semestinya datang sebagai memorandum dan diputuskan oleh jemaah menteri,” kata beliau di Kota Baru semalam.

Dipetik Utusan Malaysia, Nazri (gambar) mengulas cadangan Abdul Aziz tersebut yang membolehkan seseorang pemilih diwakili oleh mana-mana individu yang layak pada hari pengundian.

Abdul Aziz berkata, pindaan kali ini melibatkan sekitar 30 perkara dengan sebahagian besarnya sudah pun diteliti dan kemungkinan akan diserahkan kepada Jabatan Perdana Menteri dalam tempoh terdekat.

Nazri yakin rakyat telah faham dengan perkara itu meskipun beberapa pihak mengemukakan bantahan mereka.

“Saya tidak fikir rakyat tidak faham, cuma mungkin pandangan daripada media itu menyebabkan mereka seolah-olah melihat undi proksi sudah dipersetujui,” jelas beliau.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider, Abdul Aziz berkata SPR sedang mengkaji sistem undi proksi bagi membolehkan seseorang pemilih diwakili oleh mana-mana individu layak pada hari pengundian.

Di bawah syor SPR itu, sistem proksi dilihat mirip hak mengundi yang diamalkan oleh sektor korporat.

“Kita sedang kaji undi proksi, khusus bagi mereka yang tidak dapat hadir pada hari pengundian,” kata beliau.

Sambil mengakui ia bukan mudah untuk dilakukan, Abdul Aziz berkata, jika sistem itu diluluskan ia akan dijalankan dengan ketat supaya tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

“Ada cara, ada caranya... ia mesti ada cara sendiri,” kata beliau sambil menambah, beberapa negara lain dan pihak berkuasa tempatan mereka sudah mengamalkan sistem tersebut.

Misalnya laman web pilihan raya Toronto menyebut, pengundi-pengundi yang tidak dapat hadir pada hari pengundian atau lebih awal boleh memohon mendapatkan kemudahan hak undi berproksi.

Di bawah sistem pengundian Toronto itu, undi proksi membolehkan pemilih lain yang tinggal di kawasan atau bahagian yang sama mengundi bagi pihak mereka yang hendak memberi hak mereka kepada orang lain.

Di Toronto, seseorang pengundi proksi tidak boleh mengundi bagi pihak lebih dua pemilih berdaftar dan permohonan perlu dibuat sehari sebelum hari pengundian.

Bagaimanapun idea itu mendapat reaksi berbelah bahagi setakat ini.

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata hak untuk mengundi dalam pilihan raya adalah sulit dan peribadi.

Bagaimanapun, Koh berkata beliau perlu mendapatkan maklumat berhubung cadangan SPR untuk mewujudkan sistem pegundian secara proksi sebelum memberi sebarang ulasan terhadap perkara itu.

Dewan Pemuda PAS pusat membantah cadangan itu atas alasan undi proksi ini tidak wajar dilaksanakan.

“Meskipun sistem ini dilaksanakan dengan kawalan ketat, DPPM merasa sangsi bagaimana pengundi proksi mampu mengundi secara jujur bagi pihak pengundi sebenar.

“Mereka tidak merasakan sentimen bahawa hak mereka sebagai pengundi perlu ditunaikan dengan penuh amanah kerana mereka hanyalah wakil bagi pihak pengundi sebenar. Justeru mereka boleh mengundi calon lawan secara sesuka hati ataupun merosakkan undi pemilih sebenar yang tidak hadir,” kata Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Mohd Firdaus Jaafar.

12 ulasan:

Mohd Ishak berkata...

Tak payah menggunakan undian proksi.

mantra berkata...

rakyat takkan setuju dgn undi proksi. ia tak wajar dilaksanakan.

Leo berkata...

Undi proksi pasti tidak akan dapat sokongan orang ramai.

nickko berkata...

cadangan penggunaan sistem undi proksi ini masih belum diputuskan, oleh itu rakyat dan pihak2 yang berkepentingan gunakan lah peluang ini untuk mengemukakan cadangan jika bersetuju atau protes jika tidak bersetuju.

nickko berkata...

Tan Sri Abdul Aziz sepatutnya menjelaskan secara terperinci berkenaan dengan sistem undi proksi supaya maksudnya lebih jelas dan mudah bagi rakyat memahami tujuan SPR melaksanakan sistem ini sekaligus memutuskan samada menerima atau tidak cadangan tersebut.

mike berkata...

undi proksi tidak perlu dilaksanakan..ianya harus ditolak..

mike berkata...

tiada jaminan undi proksi ini tidak disalahguna pada masa pilihanraya..lagi pun, bagi masyarakat malaysia, hak mengundi itu sangat penting dan peribadi..

mike berkata...

walaupun belum diputuskan namun harus mengambil kira pandangan rakyat dan pemimpin tidak kira pihak kerajaan atau pembangkang..keputusan ini tidak seharusnya dilakukan secara tergesa-gesa.

Paquin berkata...

Jadi tak perlulah terlalu risau kerana cadangan itu pun belum diluluskan lagi.

Paquin berkata...

Namun saya harap pandangan rakyat diambil kira sebelum memutuskan sesuatu bagi mengelakkan ketegangan timbul.

Bujang Senang berkata...

SPR masih menunggu suara rakyat dengan cadangan ini. Sekiranya bantahan dari suara ramai maka mungkin pengundi proksi ini tidak akan dilaksanakan.

elia berkata...

Ramai yang peka bahawa itu cuma cadangan, tetapi masalahnya disini sudah ramai yang membantah cadangan itu. Terdapat beberapa parti juga tidak bersetuju untuk melaksanakan apa yang telah di cadangkan.