Khamis, 20 Januari 2011

Undi proksi: Pakatan bertemu SPR 24 Jan

KUALA LUMPUR — Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Isnin ini bagi melahirkan pendirian formal mengenai sistem undi proksi yang dikatakan sedang dipertimbangkan.

Idea itu yang dibangkitkan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider baru-baru ini, yang disiarkan Ahad lalu, telah mendapat reaksi yang berbelah bahagi daripada kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Laporan mengenai kajian itu juga dibawa oleh The Star kelmarin.

Bagaimanapun laporan The Star hari ini memetik Abdul Aziz menafikan SPR sedang mengkaji perkara itu, sebaliknya beliau berkata idea itu hanya dibangkitkan sambil lalu bagi merujuk sistem pengundian di negara-negara lain.

“Ketiga-tiga parti dalam Pakatan sebulat suara membantah undi proksi kerana ia bertentangan dengan prinsip demokrasi.

“Jika ia dilaksanakan, ia seperti langkah untuk mensahihkan kewujudan pengundi hantu,” kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali pada sidang media hari ini.

Mustafa berkata, pengundian proksi boleh menyebabkan salah guna yang tidak terhingga, antaranya kemungkinan unsur menjual undi.

Difahamkan pertemuan dengan SPR akan berlangsung pada pukul 3 petang di Putrajaya.

Malah menurut Mustafa, Pakatan Rakyat juga akan meminta SPR agar melaksanakan sistem pendaftaran pengundi automatik dan juga rancangan perikatan itu mahu mengadakan urusan persempadanan semula bahagian pilihan raya tahun ini.

Dalam ulasannya semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata, kenyataan Abdul Aziz mengenai kajian memperkenalkan sistem undi proksi hanyalah satu cadangan yang belum diputuskan.

Katanya, buat masa ini cadangan itu telah dikemukakan oleh SPR untuk mendapat maklum balas daripada rakyat sama ada mereka bersetuju dengan sistem itu atau tidak.

“Saya telah dihubungi oleh beliau dan katanya SPR dalam proses untuk berjumpa rakyat serta meminta apa pandangan yang perlu dan dimahukan oleh rakyat.

“Jadi kita pertimbangkanlah. Tetapi apa pun pindaan yang dibuat dalam akta SPR, ia semestinya datang sebagai memorandum dan diputuskan oleh jemaah menteri,” kata beliau.

Sebelum ini, Abdul Aziz berkata langkah tersebut akan membolehkan seseorang pemilih diwakili oleh mana-mana individu yang layak pada hari pengundian.

Abdul Aziz berkata, pindaan kali ini melibatkan sekitar 30 perkara dengan sebahagian besarnya sudah pun diteliti dan kemungkinan akan diserahkan kepada Jabatan Perdana Menteri dalam tempoh terdekat.

Nazri yakin rakyat telah faham dengan perkara itu meskipun beberapa pihak mengemukakan bantahan mereka.

“Saya tidak fikir rakyat tidak faham, cuma mungkin pandangan daripada media itu menyebabkan mereka seolah-olah melihat undi proksi sudah dipersetujui,” jelas beliau.

Di bawah sistem pengundian di Toronto, undi proksi membolehkan pemilih lain yang tinggal di kawasan atau bahagian yang sama mengundi bagi pihak mereka yang hendak memberi hak mereka kepada orang lain.

Di Toronto, seseorang pengundi proksi tidak boleh mengundi bagi pihak lebih dua pemilih berdaftar dan permohonan perlu dibuat sehari sebelum hari pengundian.

Dalam pada itu Bernama melaporkan, Timbalan Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Datuk Wilfred Bumburing menyifatkan cadangan memperkenalkan sistem undi proksi sebagai tidak sesuai dan “tidak masuk akal” untuk negara ini khususnya di Sabah.

Beliau berkata ini kerana wujudnya dakwaan mengenai kehadiran sejumlah besar pendatang asing tanpa izin yang dikaitkan dengan kewujudan pengundi hantu di Sabah sepertimana dibuktikan dalam petisyen pilihan raya di mahkamah di masa lepas.

“Senarai pemilih berdaftar kami sudah tercemar dan boleh dicabuli, dan saya percaya sistem undi proksi ini akan menyebabkan pencabulan senarai daftar pemilih yang lebih teruk lagi.

“Sistem ini (undi proksi) tidak masuk akal. Semua orang tahu bahawa Sabah masih bergelut dengan masalah pendatang asing tanpa izin,” katanya.

Bumburing, yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata kebarangkalian pelarian Filipina di Sabah dipergunakan untuk mengundi melalui sistem itu akan lebih merumitkan isu itu.

“Apa instrumen yang akan digunakan bagi sistem ini? Bagaimana kita akan sahkan dokumen? Sama ada ia melalui kaedah perjanjian atau perundangan lain, ia tidak membawa sebarang perbezaan. Jelas sistem ini tidak sesuai bagi negara kita,” katanya.

Bumburing berpendapat sistem undi proksi tidak konsisten dengan prinsip “satu orang, satu undi” seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya bagi rakyat Malaysia yang tinggal atau bekerja di luar negara, mereka boleh mengundi di pejabat Kedutaan Malaysia.

Tiada ulasan: