Rabu, 26 Januari 2011

UMNO jaja sandiwara PR

SINAR HARIAN ONLINE

SHAH ALAM - UMNO Selangor akan mengadakan ‘road show’ ke seluruh negeri ini bagi memberi penjelasan kepada rakyat berhubung sandiwara Kerajaan Negeri memanggil Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi meminda perlembagaan negeri kelmarin.

Timbalan Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, program berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan melibatkan semua DUN di negeri ini.

Katanya, langkah itu adalah susulan hasrat Kerajaan Negeri yang mahu mengadakan siri penerangan ke seluruh negeri setelah gagal meluluskan pindaan tersebut kelmarin.

“Kita (BN Selangor) telah menyusun beberapa program turun ke setiap DUN bagi menerangkan kepada rakyat isu sebenar mengenai perkara ini.

“ADUN BN akan menjadi penceramah utama kerana hanya mereka mengetahui apa yang berlaku di dalam sidang DUN bagi pindaan perlembagaan negeri yang diadakan semalam (kelmarin).

“Kita akan terangkan kepada rakyat siapa sebenarnya tidak menghormati sultan dan siapa yang sebenarnya mahu merampas kuasa baginda secara perlahan-lahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengurusan Kewangan untuk Pemborong dan Pengilang Beras Bumiputera di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kegagalan Kerajaan Selangor meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor bertujuan untuk mengembalikan kuasa untuk pelantikan tiga pegawai tertinggi kerajaan negeri iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang kepada Sultan dan Menteri Besar dalam sidang khas kelmarin.

Noh berkata, sidang khas itu hanyalah bertujuan memgelirukan rakyat

Mereka sudah tahu tanpa sokongan (ADUN BN) mereka tidak akan dapat luluskan pindaan tersebut tetapi mereka tidak boleh terima realiti sebab mereka ego.

“Hanya kerana hendak memuaskan hati mereka yang suka berpolitik, mereka sanggup lakukan ‘matlamat menghalalkan cara’. Bagi mereka politik adalah segala-galanya,” katanya.

Oleh beliau menggesa rakyat supaya dapat menilai cara pentadbiran PR.

“Tindakan mereka ini hanyalah untuk mengaburi mata rakyat kononnya mereka berjuang untuk kedaulatan Raja-Raja Melayu tetapi hakikat sebenarnya mereka hanya mahu memperkasa kuasa Menteri Besar,” katanya.

Tiada ulasan: