Selasa, 4 Januari 2011

Tujuh laporan terhadap Adun Seri Muda didakwa hina sultan

BERNAMA

KLANG – Tujuh lagi laporan polis dibuat berhubung kenyataan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei yang dianggap menghina Sultan Selangor dalam laman blognya.

Tiga laporan dibuat oleh Pemuda Umno, MCA dan MIC Bahagian Kota Raja, sementara empat lagi daripada badan bukan kerajaan, Persatuan Bugis Selangor, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) cawangan Klang, Gabungan Anti-Penyelewengan Selangor (GAPS) serta Pusat Komuniti Andalas.

Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Kota Raja, Nur Azman Anuarul Perai yang mewakili Pemuda Umno, MCA dan MIC berkata kenyataan yang dibuat Shuhaimi pada 30 Disember lepas dalam laman blog http://srimuda.blogspot.com memberi gambaran Sultan Sharafuddin Idris Shah bertindak sewenang-wenangnya tanpa mengambilkira amalan perlembagaan ketika memperkenankan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor yang baru.

“Saya berpendapat kenyataan Shuhaimi sengaja dibuat untuk menaikkan kemarahan rakyat dan memberi persepsi negatif terhadap institusi Raja-Raja Melayu dan boleh menggugat ketenteraman awam dan negara,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bugis Selangor Raja Ahmad Raja Abdul Wahid berkata tindakan Kerajaan Selangor yang masih mempertikaikan pelantikan Mohd Khusrin sebagai SUK disifatkan menderhaka kepada Sultan Selangor.

“Kami warga Bugis menganggap kenyataan Shuhaimi seolah-olah menghasut rakyat menentang institusi beraja di negeri ini serta mencabar kedudukan Sultan Selangor yang berasal daripada keturunan Bugis,” katanya yang juga Ketua Umno Cawangan Bandar Klang Selatan.

Dalam blog itu, Shuhaimi antara lain, mendakwa jawatan SUK tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor dan sebaliknya ia adalah di bawah bidang kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan baginda seharusnya bertindak berdasarkan nasihat majlis berkenaan, bukannya berkecuali.

Malah, wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menerusi kenyataan dalam blog berkenaan seolah-olah turut memberikan gambaran amaran kepada institusi beraja Selangor supaya “tidak berterusan bertindak membelakangkan MMKN atau terpaksa berdepan dengan gelombang kebangkitan rakyat bagi menentang pihak istana”.

Tiada ulasan: