Sabtu, 29 Januari 2011

Tohmahan Utusan cuba aib Shuhaimi Shafie

SELANGOR KINI


SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafie, semalam sekali lagi diambil keterangan di IPD Shah Alam berhubung kes simbah cat di pejabat beliau 7 Januari lepas.

Shuhaimi menjelaskan kes ini merupakan siri laporan dan tohmahan yang dilemparkan oleh Utusan Malaysia yang seolah-olah menunjukkan beliau menderhaka terhadap Institusi Raja di Selangor.

Beliau berkata, Utusan memanipulasikan kenyataannya berkaitan isu perlantikan SUK untuk menimbulkan pertentangan antara pihak-pihak yang terbabit, khususnya antara kerajaan negeri dan Sultan Selangor.

“Bahasa hasutan dan provokasi yang melampau dan juga cubaan unuk menggambarkan pertentangan kepada seorang raja itulah pendorong kepada orang yang tidak tahu. Saya desak Kementerian Dalam Negeri untuk segera menyiasat Utusan Malaysia dan Awang Selamat walaupun ini lidah rasmi Umno. Saya menggesa supaya tindakan yang sama diambil untuk memelihara etika kewartawanan,” ujarnya.

“Saya menggesa laporan yang dibuat Angkatan Muda Keadilan kepada Utusan Malaysia, 35 laopran polis yang dibuat. Maka pihak yang dilaporkan pun perlu dipanggil untuk beri keterangan. Kerana apa yang ditulis oleh Awang Selamat itu sebenarnya pencetus kepada siri laporan polis yang dibuat kepada saya,” ujar Shuhaimi lagi.

Beliau menggesa pihak polis agar mempercepatkan siasatan dan segera menyatakan kepada rakyat mengenai duduk perkara sebenar isu ini.

“Sebenarnya tidak ada perkara yang nak dikaitkan, tapi kita memahami bahawa laporan itu bermotif politik, saya harap sudah sampai ke penghujung untuk ambil kenyataan kerana menggangu perkhidmatan kita kepada masyarakat,” katanya.

Dalam hal yang berkaitan, Azmin iaitu pekerja yang mengelola laman blog Shuhaimi turut dipanggil untuk memberi keterangan buat kali kelima semenjak kejadian simbah cat tersebut berlaku.

Shuhaimi sebelum ini menegaskan kenyataannya tidak ditujukan kepada Sultan Selangor sebaliknya menyanggah kenyataan yang dibuat Setiausaha Sulit baginda serta mantan Ketua Pembangkang,Dr Khir Toyo yang memberikan tafsiran mereka sendiri ke atas peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959.

Beliau turut menafikan ada berkata bahawa perlantikan jawatan SUK tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor, sebaliknya ia adalah di bawah kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Tiada ulasan: