Sabtu, 8 Januari 2011

Tiga MP Sarawak kumpulan pertama jumpa PM

THE MALAYSIAN INSIDER


Tiga ahli Parlimen dari Sarawak Din Kuong Hing (kanan), Joseph Salang Anak Gandum dan Abdul Wahab Dolah (kiri) selepas bertemu Perdana Menteri di PWTC, pagi tadi. - Foto oleh Jack Ooi

PM KUALA LUMPUR — Sesi perjumpaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan semua 137 Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula pagi ini, dengan tiga ahli Parlimen dari Sarawak menjadi kumpulan pertama menemuinya.

Mereka terdiri daripada wakil rakyat Mas Gading, Datuk Dr Tiki Lafe, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong) dan Datuk Fadillah Yusof (Petra Jaya).

Sesi pertemuan antara Najib, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan kumpulan tiga ahli Parlimen itu berlangsung selama 15 minit dengan setiap mereka masing-masing diberikan masa lima minit untuk menyuarakan pandangan serta membangkitkan sebarang masalah yang dihadapi di kawasan masing-masing.

Sesi itu diteruskan dengan Perdana Menteri kemudiannya menemui kumpulan tiga ahli Parlimen berikutnya. Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Rohani Karim yang ditemui selepas menemui Perdana Menteri berkata, menerusi pertemuan itu beliau dapat menyalurkan maklumat mengenai pelbagai masalah dan isu di kawasan Batang Lupar, secara terus kepada Perdana Menteri.

“PM mendengar maklum balas yang disampaikan, dan saya berjaya beritahu secara langsung kepada beliau mengenai isu-isu yang dihadapi oleh rakyat di Batang Lupar, Sarawak,” katanya.

Semalam Najib yang juga Pengerusi BN dilaporkan berkata beliau menganggap pertemuan itu sebagai satu transformasi politik seperti dinyatakannya sebelum ini, dan ia juga bertujuan membolehkan beliau mengetahui keadaan setiap kawasan BN.

Bagaimanapun tidak semua pemimpin BN dijangka dapat menghadiri pertemuan itu kerana beberapa orang anggota Parlimen yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri ketika ini berada di luar negara untuk tugasan rasmi.

Sebelum ini spekulasi berlegar di media dan di kalangan pemerhati politik mengenai kemungkinan pertemuan itu adalah persediaan awal untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang yang mungkin berlangsung pada Jun atau Julai, ataupun serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak yang perlu diadakan sebelum Julai ini.

Bagi wakil rakyat Umno, mungkin inilah masanya yang paling tepat untuk membentangkan kad laporan masing-masing, seperti yang diperkenalkan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perhimpunan Agung Umno Oktober lepas. — Bernama

Tiada ulasan: