Khamis, 13 Januari 2011

Tiada perubahan besar dasar hingga PRU13, ramal RGE

KUALA LUMPUR — Siri pembaharuan ke atas dasar-dasar pro-Bumiputera yang hendak dibawa pentadbiran Najib kemungkinan hanya akan digerakkan selepas kepimpinannya memperoleh mandat baru yang mantap pada pilihan raya umum ke-13, demikian menurut analisis ekonomi global RGE Nouriel Roubini.

Dalam laporan “Wednesday Note - Malaysia’s Middle-Income Malaise” yang dikeluarkan semalam RGE berkata, Umno “tidak mungkin” merombak dasar-dasar sedemikian, yang dilihat banyak pihak sebagai menghalang usaha yang mahu menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi, sebelum pilihan raya umum kerana bimbang akan menyinggung pengundi-pengundi Melayu.

Pembaharuan-pembaharuan mesra pasaran di bawah Model Baru Ekonomi (MBE), yang cuba diperkenalkan pentadbiran Najib tidak mendapat sambutan menggalakkan di kalangan orang Melayu.

“(Mengambil kira) parti pemerintah bergantung pada sokongan Bumiputera, perubahan-perubahan besar tidak mungkin dilaksanakan sehingga pilihan raya baru diadakan dan (sehingga) kerajaan mempunyai keyakinan politik untuk berhadapan dengan bangkangan ke atas pembaharuan-pembaharuan yang hendak diperkenalkan,” kata RGE.

Dalam laporan semalam, The Malaysian Insider memetik sumber-sumber berkata, Datuk Seri Najib Razak selaku perdana menteri dan pengerusi Barisan Nasional (BN) hanya akan memanggil pilihan raya umum ke-13 tergempar pada suku akhir tahun ini.

Spekulasi sebelum ini berkata, ia akan diadakan pada separuh pertama tahun ini.

Kepimpinan Najib akan genap dua tahun pada April ini.

Beliau mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen BN Sabtu lalu.

RGE menekankan, kemerosotan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) tempatan sepanjang 10 tahun lalu merupakan salah satu manifestasi yang amat jelas mengenai perangkap pendapatan pertengahan yang merudung Malaysia.

Pada tempoh kemuncak sekitar 2000, sektor E&E merekodkan satu pertiga jumlah nilai tambah Malaysia dalam bidang pengeluaran, daripada 70 peratus pendapatan daripada eksport pengeluaran dan kira-kira empat peratus eksport E&E dunia, kata firma dari New York ini.

Bagaimanapun sektor E&E Malaysia menyaksikan penurunan dalam produktiviti, eksport tidak berkembang dan kemerosotan bahagian pasaran global sejak 2000 ekoran ketidakupayaan mempertahankan model pertumbuhan nilai tambah yang rendah sementara berhadapan dengan kos buruh yang tinggi, di samping peningkatan daya saing daripada negara-negara kos pengeluaran rendah seperti Filipina dan China, kata RGE lagi.

Ia menggariskan kesan-kesan “menyekat” dasar-dasar pro-Bumiputera ke atas pembangunan sektor E&E yang tegap dan pribumi sebagai punca utama kegagalan Malaysia untuk berubah ke tahap pengeluaran E&E yang tinggi tambah nilainya berbanding tahap “hiliran yang didominasi”.

Malah RGE berkata, “proses evolusi” ini ke arah pengeluaran huluan membolehkan negara “Harimau-hariman Asia’ seperti Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Singapura berjaya dalam usaha mereka berubah sebagai negara pengeluar bernilai tambah tinggi dan seterusnya mencapai status negara berpendapatan tinggi meksipun berhadapan dengan cabaran seperti yang dialami Malaysia.

“Ketika peningkatan kos buruh menyebabkan kemudahan-kemudahan pengeluaran hiliran mengurangkan pasaran kos rendah, firma-firma Singapura cukup berpengalaman dan cukup berdaya saing untuk terus beroperasi dalam (Sektor) rangkaian bekalan E&E di tahap nilai tambah tinggi.

“Dalam keadaan ini, Singapura mampu untuk meningkatkan bahagian pasaran global E&Enya sejak 2000,” kata nota itu.

Sebaliknya, sektor E&E Malaysia tidak berupaya untuk mengubahsuai kedudukannya untuk menuju kepada persekitaran yang mempunyai lebih banyak kelebihan.

RGE berkata, sektor E&E yang tidak memperlihatkan prestasi yang menggalakkan sepanjang satu dekad lalu seharusnya menjadi satu amaran kepada pembuat dasar Malaysia bahawa penerusan dasar-dasar pro-Bumiputera yang dilihat “mengganggu” kemungkinan akan mengehadkan prospek pertumbuhan negara.

Malah katanya, dasar-dasar afirmatif juga telah memburukkan lagi masalah aliran keluar tenaga selain menyebabkan situasi strategi yang tidak menguntungkan kepada firma-firma tempatan, dengan membataskan modal insan dan kewangan, dan mengekalkan lapangan persaingan yang tidak sama rata bagi usahawan.

RGE dipengerusikan oleh Nouriel Roubini, yang terkenal kerana meramalkan krisis subprima tiga tahun sebelum ia tercetus di Amerika Syarikat.

Tiada ulasan: