Rabu, 5 Januari 2011

Tiada perbincangan perpaduan PAS-Umno

FREE MALAYSIA TODAY


PETALING JAYA: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menegaskan bahawa isu perbincangan antara PAS dan Umno tidak timbul langsung.

“Majlis itu adalah majlis Yang Dipertuan Agong, nak bincang dengan Perdana Menteri macamana?,” beliau dipetik berkata oleh laman web Harakahdaily ketika menghadiri majlis santapan malam yang DiPertuan Agong.

“Adalah sangat tidak beretika dan tidak beradab bagi saya untuk menceritakan isi perbualan semasa mengadap,” kata beliau yang juga merupakan mursyidul am PAS.

Pertemuan Nik Aziz dengan pimpinan Umno pada 24 Disember lalu dikaitkan dengan kemungkinan berlakunya perbincangan kerajaan perpaduan yang sering dimainkan oleh Umno sebagai satu tipu helah untuk memecah-belah perpaduan Pakatan Rakyat.

Nik Aziz menghadiri majlis santapan malam itu bersama pimpinan PAS atas jemputan Yang Di-Pertuan Agong menerusi mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika beliau menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian baru-baru ini.

Sementara, itu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut mengiyakan bahawa tiada perbincangan politik berlaku semasa majlis santapan malam tersebut.

“Tidak ada perjumpaan lain, selain majlis santapan malam itu,” Hadi dipetik berkata oleh Bernama.

Isu kerajaan perpaduan sudah beberapa kali digembar-gemburkan sebelum ini.

Pada sesi Muktamar Tahunan PAS yang lepas, isu kerajaan perpaduan hampir meretakkan parti tersebut kerana Hadi dan timbalannya Nasharudin Md Isa cenderung untuk menyokong cadangan kerajaan perpaduan manakala Nik Aziz pula menentang keras cadangan ini.

Tiada ulasan: