Khamis, 6 Januari 2011

Tenang: Muslimat Kedah siap sedia turun padang

Muhayat Jasmin

LUNAS: Muslimat PAS Kedah, telah membuat persiapan rapi bagi menurunkan anggota jentera bagi membantu kemenangan calun PAS dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, yang akan diadakan pada 30 Januari yang akan datang.

Menurut Ketuanya, Siti Aishah Ghazali ketika ditemui semalam berkata, segala persiapan telah pun dilakukan bagi menggerakkan sepenuh jentera pilihan raya ke kawasan Dun Tenang.

"Bagi tarikh penamaan calun pada 22 Januari dan juga pada hari pembuangan undi segala persiapan telah pun disempurnakan bagi menggempur kubu yang menjadi milik Umno itu.

"Tiada apa yang mustahil, pilihan raya lalu PAS berjaya kurangkan mejoriti Barisan Nasional (BN) berbanding jumlah majoriti yang mereka perolehi pada pilihan raya umum 2004, kali ini kita mengharapkan kerusi tersebut dapat dirampas dan menjadi milik PAS," katanya.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah mengakui kerusi Tenang sekarang sudah tidak lagi berada dalam keadaan tenang, memandangkan pelbagai isu korup, skandal, penyelewengan pimpinan BN sedang dibongkar.

"Mereka begitu takut sekiranya maklumat sebenar pembongkaran ketidakadilan yang mereka lakukan itu sampai ke pengetahuan rakyat terutamanya menjelang PRK Tenang dan juga PRU ke-13 yang akan datang, " tambahnya lagi.

Tiada ulasan: