Jumaat, 7 Januari 2011

SPRM soal pegawai Alcatel isu sogokan projek TM



Alcatel-Lucent dituduh membayar lebih daripada AS$8 dalam rasuah antara 2001 and 2006. — Foto Reuters

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mula menyoal siasat pegawai-pegawai Alcatel Lucent (ALU) berhubung sogokan bagi membolehkan syarikat itu memperoleh kontrak telekomunikasi 3G AS$85 juta (RM263.5 juta) lima tahun lalu.

The Malaysian Insider difahamkan pegawai-pegawai ALU telah berada di ibu pejabat SPRM awal minggu ini untuk memberikan kenyataan.

“Siasatan adalah mengenai pekerja-pekerja TM yang didakwa menerima AS$700,000 dalam bentuk rasuah, bukan mengenai Alcatel Lucent,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Katanya, SPRM dijangka akan memanggil pegawai-pegawai TM untuk membantu siasatan itu, yang bermula minggu lalu selepas Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) dan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat mendenda ALU AS$137 juta kerana kes rasuah global.

Seorang jurucakap ALU dalam kenyataan e-mel berkata, “adalah tidak wajar bagi memberikan komen mengenai perkara ini, selain (hanya) mengatakan bahawa kami akan memberi kerjasama dalam siasatan ini.”

“Kami ada dasar sifar tolak ansur berhubung kes sogokan dan rasuah, dan ada satu sistem dengan proses dan latihan ketat, yang direka untuk mengelakkan situasi-situasi macam ini dalam semua aspek perniagaan kami,” tambah kenyataan disiarkan oleh Wall Street Journal.

Baru-baru ini, TM dan Axiata Group Bhd secara bersama telah melantik KPMG Corporate Services Sdn Bhd sebagai akauntan forensik bagi membantu siasatan dalaman berhubung isu ini.

Kedua-dua syarikat itu juga mengumumkan pelantikan Shearn Delamore & Co sebagai penasihat undang-undang untuk membantu siasatan membabitkan dua pegawai Malaysia terbabit, yang didakwa menerima sogokan AS$700,000 mendapatkan “maklumat bukan awam” yang membantu ALU mendapatkan kontrak telekomunikasi.

Pada 29 Disember lalu, SPRM berkata, pihaknya akan “menyiasat” dakwaan kes sogokan membabitkan ALU.

“SPRM memandang serius dakwaan ini dan akan membuat semakan dengan pihak-pihak yang berkenaan untuk mendapatkan butir-butir sebenar tohmahan sebelum tindakan sewajarnya diambil,” kata agensi itu.

Maklumat SEC Amerika Syarikat menunjukkan dua perunding dari Malaysia telah dibayar AS$700,000 bagi mendapatkan “maklumat bukan awam” berhubung aspek harga dan bidaan pesaing-pesaing, dipercayai untuk anak syarikatnya Celcom Malaysia memperoleh perkhidmatan mudah alih 3G, yang dilancarkan pada 2005.

“Perkara itu dibangkitkan memandangkan urusan itu tidak mematuhi prosedur-prosedur (yang ditetapkan). Tetapi tiada tindakan diambil,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider sebelum ini.

Sumber syarikat memberitahu, Alcatel memperoleh kontrak untuk membekalkan kelengkapan perkhidmatan 3G meskipun ia tiada pengalaman dalam sektor tersebut.

Kelengkapan itu kemudian dibatalkan, kata sumber itu lagi.

Difahamkan, ada banyak lagi kes pelanggaran peraturan dalam TM membabitkan pemerolehan daripada Alcatel yang tidak disiasat oleh SEC.

Alcatel bersetuju untuk membayar lebih AS$137 juta (RM430.4 juta) untuk menyelesaikan tuduhan-tuduhan AS bahawa ia membayar berjuta-juta dolar dalam bentuk rasuah kepada pegawai-pegawai asing untuk memperoleh bisnes di Amerika Selatan dan Asia.

Pengeluar kelengkapan telekomunikasi ini dituduh membuat bayaran kepada pegawai-pegawai kerajaan termasuk di Costa Rica, Honduras, Taiwan dan Malaysia untuk memperoleh kontrak atau mengekalkan kontrak-kontrak yang diperoleh, melibatkan nilai berjuta dolar, kata SEC dan Jabatan Kehakiman AS.

Antara Disember 2001 dan Jun 2006, syarikat itu menggunakan khidmat perunding yang menyalurkan lebih AS$8 juta untuk membayar rasuah kepada pegawai-pegawai terbabit.

Malah, Alcatel didapat melantik ejen-ejen di negara-negara seperti Nigeria untuk mendapatkan kontrak, kata pihak berkuasa.

Pada keseluruhannya syarikat itu mengaku memperoleh keuntungan bernilai AS$48.1 juta ekoran pembayaran-pembayaran tidak sewajarnya, kata Jabatan Kehakiman.

Syarikat itu bersetuju untuk membayar AS$92 juta untuk menyelesaikan tuduhan-tuduhan jenayah yang dibawa oleh Jabatan Kehakiman dan juga AS$45 juta untuk menyelesaikan tuduhan-tuduhan sivil dibawa SEC.

Tiada ulasan: