Selasa, 18 Januari 2011

SPR pindah pengundi

SELATAN ONLINE

LABIS:
Pakatan Rakyat kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memindahkan pengundi dari tiga Unit Peti Undi (UPU) di Dun Tenang yang dimenangi PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Pengarah Operasi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.05 Tenang, Dzulkefly Ahmad menyifatkan tindakan tidak profesional itu jelas menunjukkan sikap SPR memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Katanya, kesemua UPU itu iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Labis, Bandar Labis Timur dan SJK Tamil Labis, adalah kawasan pengundi Cina yang mengundi PAS pada PRU 2008 dan PAS menang di kesemua peti undi tersebut.

Maklumat yang diperolehi dari SPR, ujarnya mendapati pengundi yang sebelum ini mengundi di UPU SJKC Bandar Labis Tengah dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamarul Ariffin Jalan Kampung Tenang, pengundi di UPU Bandar Labis yang sebelum ini membuang undi di SMK Sri Labis dipindahkan ke Dewan Bola Keranjang JKKK Labis Jalan Segamat manakala pengundi UPU Bandar Labis Timur yang sebelum ini mengundi di SJK Tamil Labis pula dipindahkan ke Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah.

Menurut Dzulkefly, tindakan SPR menukar tempat mengundi itu bertujuan untuk mengeliru dan menyusahkan pengundi Cina.

“Sebelum ini pengundi Cina di kawasan Bandar hanya perlu berjalan kaki untuk ke tempat mengundi kerana jaraknya dekat dengan tempat tinggal mereka tetapi sekarang mereka terpaksa ke tempat mengundi yang jaraknya sekitar empat hingga lima kilometer dan ini akan menyukarkan mereka.

“Bahkan lebih membimbangkan lagi sekiranya mereka tidak membuat semakan daftar pemilih di saat-saat akhir yang memungkinkan mereka tidak dapat mengundi setelah nama mereka tiada di dalam daftar pemilih di UPU tersebut,” ujarnya.

Dzulkefly yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, turut mendedahkan taktik lawan yang akan menaikkan kain rentang serta menabur risalah yang berbaur fitnah dan perkauman bertujuan menimbulkan ketegangan sepanjang PRK Tenang.

Bagaimana pun menurutnya, PAS dan Pakatan Rakyat akan memantau perkembangan itu dengan mewujudkan pasukan khas yang akan membuat rondaan secara berterusan bagi memastikan PRK Tenang berjalan dengan aman dan harmoni.

“Pasukan khas ini akan menjalankan rondaan sepanjang 24 jam dan kita akan bekerjasama dengan pihak keselamatan jika ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab cuba mengeruhkan suasana,” katanya.

Selain itu beliau turut menegaskan, pasukan khas ini juga akan memantau salah laku jabatan serta agensi-agensi kerajaan yang berkempen bagi pihak BN.

“Kita sudah ada maklumat berhubung penyalahgunaan kuasa beberapa agensi kerajaan negeri dan Pusat yang berselindung di sebalik program-program rasmi kerajaan berkempen untuk BN, ini satu amalan yang jelas menyalahi peraturan bagi penjawat awam.

“Kita akan terus memantau perkembangan ini serta bertindak sewajarnya jika pihak-pihak terbabit terus menyalahgunakan kuasa,” tegas beliau.-/ harakahdaily

11 ulasan:

Anak Sabah berkata...

SPR tidak sepatutnya memihak kepada mana-mana parti. Mereka patut memastikan pilihan raya berjalan dengan bersih dan adil.

tombolo berkata...

mgkin ada sebab munasabah SPR memindahkan peti undi tersebut. SPR adalah badan bebas dan tidak memihak kepada mana2 pihak.

Paquin berkata...

Sesiapa yang dengar perkara ni pasti akan rasa curiga kerana hal seperti ni tidak patut berlaku. Tamabahn pula SPR sepatutnya neutral dan tak memihak mana2 parti.

Paquin berkata...

Namun jika fikir balik pasti ada sebab munasabah hal ni berlaku. Jadi janagnlah terlalu berprasangka buruk terhadap SPR.

nickko berkata...

kenapa tidak minta penjelasan terus dari SPR berhubung dengan perubahan itu? adakah jika pengundi dipindahkan yang jaraknya hanya 4 kilometer akan menyebabkan pengundi mengubah pendirian mereka untuk menyokong BN??

nickko berkata...

siapa yang sering buat huru hara di setiap pilihan raya? pembangkang juga terlibat dengan rasuah, risalah palsu dan janji2 kosong. malah pembangkang juga menggunakan pelajar2 untuk berkempen disetiap rumah.

Bhatera berkata...

Apa yang penting, semua tempat bertanding haruslah dapat memuatkan jumlah pengundi yang akan mengundi. Maka mungkin SPR ada sebab lain kenapa perkara ini berlaku.

Hosie Masie berkata...

Di mana loksai sekali pun, yang penting rakyat dapat menunaikan tanggunjawab mereka untuk mengundi.

zam berkata...

mungkin ada sebab mengapa SPR bertindak seperti itu. sebaiknya penjelasan dapat diberikan.

elia berkata...

SPR tidak sepatutnya menimbulkan sebarang isu. Ini hanya akan meburukkan lagi keadaan.

elia berkata...

Semua orang tahu bahawa SPR sepatutnya tidak bersikap pilih kasih. Sepatutnya mereka neutral.