Khamis, 20 Januari 2011

SPR: Isu DUN P Klang 'urusan Badrul & Speaker'

Abdul Rahim Sabri

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata isu berkaitan kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang masih di peringkat "urusan di antara speaker DUN (Selangor) dan ADUN tersebut."
NONEWan Ahmad berkata demikian ketika mengulas tindakan speaker DUN Selangor Datuk Teng Chang Khim mengisytiharkan kekosongan kerusi berkenaan semalam.

Teng ketika membuat pengumuman itu berkata, tindakan itu dibuat berikutan wakil rakyat berkenaan Badrul Hisham Abdullah gagal menghadiri sidang DUN selama lebih setengah tahun.

Teng juga berkata Badrul Hisham mengakui ketidakhadirannya dan telah memohon cuti dalam sepucuk surat kepada beliau.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, beliau difahamkan terdapat laporan yang menyatakan ADUN berkenaan telah menafikan dakwaan menghantar surat memohon cuti kepada Teng.

"Apa pun, itu adalah urusan antara speaker dan YB Badrul (Hisham Abdullah). Itu urusan dia lah.

"SPR akan bercakap dan bermesyuarat bila kita terima hitam putih pemakluman rasmi daripada speaker.

"Selepas itu baru kita bermesyuarat menentukan, betul ke kerusi itu kosong, atau ada pilihan raya kecil (atau tidak)...baru kita akan bercakap. Selain itu, ia adalah urusan speaker dengan wakil rakyat berkenaan.

"Jadi kita tengok perkembangan selanjutnya," katanya dalam satu sidang media di bangunan Majlis Daerah Labis hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata walaupun Teng mempunyai hak untuk menghantar pemakluman tersebut, tetapi SPR tetap akan meneliti notis tersebut.

Tambahnya, SPR masih belum menerima notis pemakluman itu kekosongan kerusi berkenaan sehingga jam 9 pagi ini.

Bercakap dalam sidang media pada kira-kira jam 1 petang hari ini, Wan Ahmad berkata beliau bagaimanapun tidak dapat memastikan sekiranya notis itu telah diterima oleh pengerusi SPR Tan Aziz Mohamad Yusof menjelang tengahari.

Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad juga berkata sebanyak enam borang pencalonan untuk bertanding kerusi pilihan raya DUN Tenang telah dijual termasuk di beli oleh dua parti yang bertanding.

Tiada ulasan: