Jumaat, 21 Januari 2011

SPR asing penyokong calon parti bertanding di Tenang

BERNAMA

LABIS – Para penyokong parti yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang akan ditempatkan berasingan di sekitar kawasan Majlis Daerah Labis pada hari penamaan calon esok, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Penyokong calon Barisan Nasional (BN) akan ditempatkan di sebelah kiri dewan manakala penyokong calon Pas di sebelah kanan dewan, katanya.

“Kita harap dua parti ini sajalah yang bertanding esok.

“Dan kalau ada calon bebas, dia boleh duduk di mana-mana. Kita pun tak sediakan tempat untuk calon Bebas, tapi kita juga sediakan khemah untuk VIP, orang-orang yang dipilih parti masing-masing seramai 100 orang, serta khemah-khemah untuk penyokong-penyokong parti bertanding,” katanya dalam sidang media di Majlis Daerah Labis di sini hari ini.

Setakat ini, dua calon telah diumumkan untuk bertanding bagi kerusi tersebut iaitu Mohd Azahar Ibrahim mewakili BN dan Ketua Muslimat PAS Labis Normala Sudirman mewakili Pas.

Abdul Aziz berkata penamaan calon esok dijadualkan berlangsung sejam dari 9 pagi sehingga 10 pagi, masa bantahan dari pukul 10 hingga 11 pagi, dan sekiranya semua berjalan mengikut jadual, pegawai pengurus akan buat membuat pengumuman sama ada berlaku pertandingan.

Beliau juga memberitahu sebanyak tiga pusat mengundi yang digunakan bagi DUN Tenang semasa Pilihan Raya Umum lepas telah dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai berikutan pusat-pusat mengundi tersebut terletak di bawah DUN Bekok.

Pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Labis dipindahkan ke Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJKC) Cina Labis dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamarul Ariffin; dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Labis dipindahkan ke Dewan Bola Keranjang JKKK Labis, katanya.

“Pusat-pusat mengundi baru ini telah kita wartakan lama dah, bukan sebab PRK ini. Jadi kerana bertukar tempat mengundi, saya dah mintak signage besar diletakkan, supaya bila dia (pengundi) pergi tempat mengundi lama, dia akan nampak,” katanya.

Beliau turut meminta pengundi melakukan semakan seawal mungkin bagi memastikan nama mereka ada tersenarai dalam maklumat SPR, sekaligus mengelakkan masalah yang akan timbul pada hari mengundi nanti.

Pengundian, jika ada pertandingan, ialah pada 30 Jan ini.

Mengulas mengenai kerusi DUN Merlimau yang kosong akibat kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, semalam, Abdul Aziz berkata, tidak perlu terburu-buru untuk mengumumkan mengenai kemungkinan adanya PRK.

“Saya baru tanya pejabat saya, surat pun tak ada lagi, kebumi pun belum, saya kata kepada pengarah saya di Melaka, kita hormatlah, jangan tergesa-gesa. Biarlah dia dikebumikan baik-baik, yang kita terburu-buru kenapa?

“Jadi kita hormatlah terutama kepada keluarga, kerajaan negeri Melaka ... Saya akan adakan mesyuarat dalam masa sepuluh hari setelah terima surat dari Speaker Melaka. Sekarang ni tak eloklah,” katanya.

Tiada ulasan: